BABAK tragedi kemalangan bas menjadi antara cabaran terbesar ketika penggambaran drama raya pendek Suria FM berjudul Hayati.
Pengurus Besar Suria FM iaitu DJ Lin berkata, produksi mengambil masa selama tiga hari untuk menyelesaikan babak tersebut yang menjadi antara adegan menyentuh hati.
Tidak hanya itu, faktor cuaca tidak menentu juga menjadi penyebab drama berkenaan terpaksa mengambil masa lebih panjang untuk disiapkan.
DJ Lin ketika berucap pada sidang media drama pendek Hayati Suria FM.
"Antara cabaran terbesar adalah penggambaran melibatkan babak bas yang memerlukan masa selama tiga hari untuk diselesaikan.
"Selain itu keadaan cuaca yang tidak menentu juga memberi kesukaran kepada kami," katanya kepada mStar.
DJ Lin berkongsi perkara itu ketika berucap pada sidang media drama pendek Hayati Suria FM yang diadakan pada malam Rabu.
Berkongsi lanjut, kata DJ Lin atau Roslinda Abdul Majid, 50, Hayati merupakan sebuah naskhah paling besar pernah dihasilkan Suria FM daripada segi skala dan juga masa penggambaran.
ARTIKEL BERKAITAN: Suria FM buat rombakan besar, segmen DJ Lin bersiaran hujung minggu sahaja
ARTIKEL BERKAITAN: Suria FM catat 3.3 juta pendengar seminggu, segmen DJ Lin tunjuk peningkatan tertinggi antara radio berbahasa Melayu
Jelas DJ Lin lagi, idea dan skrip drama ini dilakukan sejak September tahun lalu dan penggambaran drama tersebut mula dijalankan sekitar bulan lepas di beberapa lokasi di ibu negara.
"Penghasilan drama raya tahun ini merupakan projek terbesar yang pernah dihasilkan Suria FM daripada sudut skala dan tempoh penggambaran di lokasi.
"Drama ini menjalani penggambaran selama tujuh hari di sekitar Lembah Klang pada bulan lepas dengan sebahagian besar babak dirakam pada waktu malam hingga ke awal pagi.
"Skrip pula sudah mula dilakukan sejak September tahun lalu," ujarnya.
Antara cabaran terbesar adalah penggambaran melibatkan babak bas yang memerlukan masa selama tiga hari untuk diselesaikan.
DJ LIN
Pengurus Besar Suria FM
Lebih menarik apabila drama Hayati bukan sahaja penuh dengan jalan penceritaan sarat emosi, malah mengangkat isu kesihatan mental sebagai salah satu usaha memberikan kesedaran buat orang ramai.
Hayati menampilkan nilai kekeluargaan bukan daripada perspektif manusia normal, sebaliknya karya ini mengisahkan kumpulan pesakit mental yang mempunyai masalah tersendiri.
Berkisahkan tragedi kemalangan mengubah kehidupan beberapa individu, kejadian tersebut memaksa mereka yang masih hidup terpaksa melalui waktu-waktu sukar untuk menghadapi realiti sebenar.
Barisan pelakon bersama orang atasan Suria FM.
Drama bertemakan psikologi emosi itu menyingkap konflik kehilangan orang tersayang menghantui diri.
Karya ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Sherrie Merlis, Hasnul Rahmat, Anas Ridzuan, Hawra Jamalullail, Cik Man dan penyampai Suria FM.
Peminat boleh mula menyaksikan drama ini menerusi saluran YouTube SuriaTV bermula 20 Mac ini pada pukul 12 tengah hari.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!