PELAKON Lia Natalia tidak pernah rasa menyesal menolak semua tawaran berlakon semata-mata untuk menjaga bapanya iaitu Abden Aben yang diserang sakit jantung sejak November tahun lalu.
Lia atau Alia Afiqah Abden, 33, berkata, dia bersyukur kerana diberi peluang paling berharga apabila dapat menjaga bapanya itu sehingga ke akhir hayat.
“Hari pertama bapa diserang sakit jantung, jatuh tepat pada hari lahirku, 12 November. Lima bulan bapa bertarung dengan kesakitan dan sepanjang itu aku ulang alik dari KL, Tawau dan Kota Kinabalu.
“Aku korbankan kerjaku tolak semua tawaran berlakon dan festival raya yang sepatutnya berlangsung pada 21 Mac yang akhirnya menjadi tarikh pemergian bapa.
Lia puas hati dapat menjaga bapanya sehingga akhir hayat.
“Tapi aku reda, aku ikhlas sebab Allah beri aku peluang paling berharga untuk menjaga bapa hingga ke nafas terakhir. Aku puas pak (panggilan bapa) langsung tiada penyesalan,” katanya.
Lia berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Dalam pada itu, Lia memberitahu dia percaya setiap kebaikan dilakukan Allahyarham diberikan balasan baik termasuk pemergian di hari Jumaat pada bulan Ramadan.
Kata pelakon drama Dia Imamku ini, ketika hayat bapanya masih ada, Abden rajin melakukan amal sedekah.
ARTIKEL BERKAITAN: Lia Natalia tiada masa bercinta, dah serik tayang teman lelaki... Fokus jaga bapa sakit di Sabah
ARTIKEL BERKAITAN: Lia Natalia labur ratusan ribu anjur karnival jualan raya di Sabah, tepis dakwaan terima modal serta tajaan VIP
“Sepanjang bapa di hospital, setiap hari ada sahaja insan baik menghantar makanan untuk kita. Aku yakin ini semua sebab kebaikan bapa sendiri.
“Bapa rajin bersedekah, bapa ikhlas masakkan orang, bagi orang makan, kucing dibelakang rumah pun hari-hari bapa gorengkan ikan dan Allah membalas dengan cara paling indah.
“Sebab itulah Allah memilih hari yang paling mulia untuk menjemput bapa pulang. Hari Jumaat dalam bulan Ramadan, malah di 10 malam terakhir penuh keberkatan,” ujarnya.
Lia terpaksa menolak tawaran berlakon kerana mahu menjaga bapa.
Lia bagaimanapun sedikit terkilan tidak dapat menunaikan satu lagi permintaan arwah iaitu menunaikan ibadah Haji di Tanah Suci Makkah.
“Semua permintaan bapa Alhamdulillah aku dah tunaikan, cuma satu sahaja yang belum. Bapa mahu menunaikan ibadah Haji.
“Insya-Allah ada rezeki aku janji satu hari nanti aku akan lakukan haji badal (upah haji) untuk bapa ya,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Lia berkongsi berita duka memaklumkan bapanya meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth 2 di Kota Kinabalu, Sabah.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!