suria

Ridzokumura teringat isteri menjelang Syawal, anak minta sambut raya di Makkah

Sky (tengah) membuat permintaan untuk meraikan Aidilfitri di Tanah Suci.

ANAK usahawan dan pempengaruh Ridzokumura iaitu Sky Raizo Okumura meluahkan hasrat meraikan Hari Raya Aidilfitri di Tanah Suci Makkah tahun ini.

Ridzuan atau Abd Ridzuan Abdul Mutalib, 50, bagaimanapun tidak dapat menunaikan permintaan anak tunggalnya itu kerana kesuntukan masa menguruskan perjalanan mereka ke sana.

"Tahun ini saya tidak ada arah tujuan. Sky nak beraya di Makkah tetapi saya tak sempat hendak uruskan semuanya.

Ridzuan (kanan) sebak mengenangkan ketiadaan Akiko (kiri) menjelang Syawal ini.

"Buat masa ini jiwa saya kosong. Insya-Allah saya dan Sky akan pergi juga ke Tanah Suci. Doakan kami dapat ke sana," katanya.

Ridzuan berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di TikTok miliknya. 

Dalam pada itu, Ridzuan meluahkan rasa sebak apabila mengenangkan ketiadaan isterinya iaitu Allahyarham Akiko Okumura menjelang Syawal ini. 

ARTIKEL BERKAITAN: Ridzokumura sebak anak cerita mimpi arwah ibu, hantar mesej beritahu ingin pergi selamanya

ARTIKEL BERKAITAN: Reda dengan pemergian anak, ada sebab ibu mentua tak datang tengok arwah isteri Ridzokumura

Kata Ridzuan, biasanya setiap tahun mereka sekeluarga akan bercuti ke luar negara pada hari raya disebabkan ibu dan bapanya sudah meninggal dunia.

"Makin dekat hendak raya, makin sebak jiwa ini. Setiap tahun kami tidak menyambut hari raya disebabkan ibu bapa saya sudah tiada.

"Jadi setiap tahun kami akan ke luar negara. Walaupun tidak beraya di Malaysia, arwah tetap membeli sepasang dua baju untuk saya dan Sky.

"Balik dari luar negara barulah kami akan beraya di rumah sanak saudara saya di Ipoh dan Parit, Perak," ujarnya.

Pada 28 Februari lalu, Ridzuan memaklumkan isterinya meninggal dunia namun tidak mendedahkan punca kematiannya.

Ridzuan sekeluarga sering ke luar negara apabila tiba Aidilfitri.

Bagaimanapun pada 4 Mac, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan wanita warga Jepun yang maut akibat terjatuh di sebuah kondominium merupakan isteri kepada usahawan berkenaan. 

Ridzuan menerusi video siaran langsung di TikTok memberitahu dia langsung tidak menyedari Akiko terjatuh dari kondominium mereka kerana sudah tertidur lebih awal pada hari kejadian. 

Jenazah Akiko selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 di Subang Jaya pada 1 Mac lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain