MEMULAKAN pengajian peringkat sarjana sama sekali tidak menghalang penyanyi Tomok untuk terus aktif dalam dunia seni.
Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 41, berkata bidang nyanyian tetap menjadi keutamaan dan dia kini perlu bijak menguruskan antara kerjaya dan pendidikan.
Malah, dia sudah menyusun jadual termasuklah perancangan bagi melancarkan single duet terbaharu bersama penyanyi Siti Nordiana.
Tomok kini merupakan salah seorang pelajar di UPSI.
"Tak fikir nak perlahankan kerjaya seni kerana ini adalah mata pencarian saya. Mungkin akan ada masa sibuk, tetapi selalunya jemputan persembahan pada hujung minggu. Jadi saya ada ruang untuk terus aktif.
"Semuanya berjalan seperti biasa. Sebelum ini semasa pengajian sarjana muda, saya tetap aktif menyanyi.
"Saya juga sudah siapkan lagu baru bersama Siti Nordiana, tunggu masa yang sesuai untuk lancarkan," katanya ketika dihubungi mStar pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Kirim kad raya buat peminat, Tomok mahu kembali nostalgia raya zaman dahulu
ARTIKEL BERKAITAN: Tomok pasang niat genggam ijazah sarjana, mahu tunjuk contoh baik buat anak-anak
Tomok sebelum itu berkongsi video dia mula mendaftar sebagai pelajar sarjana di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin.
Dalam keterujaan kembali ke kampus, Tomok menyedari dia memikul tanggungjawab besar bagi membuktikan impiannya untuk mengenggam ijazah berkenaan tercapai.
Tomok juga berharap pengalaman dan ilmu ditimba itu kelak dapat memberikan manfaat kepada masyarakat satu hari nanti.
"Saya menyambung pengajian ini untuk majukan diri. Ini juga merupakan satu tanggungjawab besar untuk dipikul.
Tomok tetap aktif dalam bidang muzik meskipun bergelar pelajar.
"Selama lebih 20 tahun dalam industri, saya rasa apa yang dibuat ini boleh dikongsi untuk orang ramai," ujarnya.
Dalam video yang dikongsi di Instagram miliknya, Tomok ditemani isteri dan tiga anak mereka ketika sesi pendaftaran di universiti berkenaan.
"Biasanya ayah dan ibu hantar anak-anak. Ini terbalik pula. Insya-Allah saya akan beri yang terbaik," luahnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!