suria

Kecil hati bakat kurang dapat perhatian, Indonesia lebih hargai Atilia Haron

Atilia pernah berkecil hati dengan industri muzik Malaysia kerana kurang menghargai bakatnya.

MERASAKAN dirinya seperti tidak dihargai, penyanyi Atilia Haron mendedahkan pernah berkecil hati dengan industri muzik tanah air. 

Kata Atilia atau Raja Putri Atilia Raja Haron, 51, disebabkan faktor itu juga dia lebih banyak menghasilkan karya kolaborasi bersama artis Indonesia. 

"Saya rasa di sana (Indonesia) lebih menghargai bakat saya. Selain jayakan festival muzik, lagu saya pun masuk carta radio Indonesia. Saya juga berkolaborasi bersama penyanyi di sana. 

Atilia kini percaya rezeki ada di mana-mana asalkan dia rajin berusaha.

"Sewaktu melancarkan album ketiga, saya terasa hati sebab genre jazz tidak dimainkan di radio Malaysia. 

"Dulu saya memang rasa bakat lebih dihargai di Indonesia, tetapi sekarang sedar rezeki ada di mana-mana sahaja asalkan kita rajin berusaha," katanya kepada mStar. 

Atilia berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert Gelombang Bahagiaku yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa. 

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Cinta Sampai Mati’ dedikasi Atilia buat arwah bapa, luahan rasa kehilangan orang tersayang

ARTIKEL BERKAITAN: Atilia Haron imbau kenangan terpilih wakil Malaysia dalam iklan di Liverpool, ada kisah hanya sempat tayang 2 minggu

Susulan sambutan baik dalam kalangan pendengar di negara jiran, Atilia juga memberitahu dia pernah menerima tawaran untuk berhijrah Jakarta demi mengembangkan kerjaya. 

Dia bagaimanapun menolak tawaran tersebut kerana enggan meninggalkan perniagaan studio senaman yang telah diusahakan sejak 10 tahun lalu. 

"Memang ada tawaran untuk tinggal di Indonesia dan menyanyi di sana, tetapi saya terlalu sayangkan Malaysia. 

Saya rasa di sana (Indonesia) lebih menghargai bakat saya. Selain jayakan festival muzik, lagu saya pun masuk carta radio Indonesia.

ATILIA HARON

PENYANYI

"Saya tidak mahu meninggalkan studio yoga yang diusahakan. Saya ada bisnes di sini walaupun tidaklah begitu banyak memberikan keuntungan," ujarnya. 

Untuk info, Atilia pernah merakamkan lagu berjudul Harus Bagaimana bersama Maliq and D’Essentials selain Silly Little Thing (bersama kumpulan Sore). 

Lagu-lagu tersebut turut dimuatkan dalam album pertama terbitannya sendiri bertajuk Atilia Indah.

Dalam perkembangan lain, buat pertama kali Atilia bersama ibunya iaitu penyanyi Salamiah Hassan bakal mengadakan konsert Gelombang Bahagiaku pada 16 Ogos ini di Plenary Theatre, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). 

Bukan sekadar sebuah projek seni bagi Atilia ia juga merupakan penghormatan jiwa terhadap insan paling dikasihi. 

Atilia bakal menganjurkan konsert bersama ibunya pada 16 Ogos depan.

"Ini merupakan sebuah impian yang menjadi kenyataan untuk saya. Sejak kecil, saya teringin menjadi seperti ibu saya. 

"Peluang dapat berkongsi pentas yang hebat bersama beliau membuatkan saya rasa seperti gadis paling bertuah di dunia," luahnya. 

Tiket Konsert Gelombang Bahagiaku sudah mula dijual pada pagi Selasa dengan harga serendah RM150 hingga RM350.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain