PELAKON Nabila Huda menjelaskan dia sudah berulang kali memberitahu bahawa pelanggan tidak boleh menjangkakan layanan seperti restoran mahal apabila datang ke gerai makanannya, Waroeng Isabella. Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi, 34, berkata dia tidak boleh menjanjikan kesempurnaan dan mengakui warungnya mempunyai kelemahan. Malah, Nabila turut berpesan sekiranya ada pelanggan yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan kedai makannya, boleh terus mesej secara peribadi di laman sosialnya. "Saya juga ada katakan, jangan menjangkakan layanan macam restoran mahal sis. Kedai kami hanyalah warung kecil dan murah. Dengan keadaan ruang yang kecil. Nabila membalas tweet netizen yang mempersoalkan layanan dan makana di Waroeng Isabella. "Kalau nak bagi sempurna 100 peratus, susah nak janji. Kesalahan dan kelemahan tu pasti ada. Lagi baik kalau sis DM (mesej peribadi) saja tapi dah ke media sosial. "Kalau restoran mahal boleh la marah, dah duduk, bayar mahal, selamat nak kena tunggu. Pesanan tak sampai. Dah nama warung," katanya. Nabila membalas Tweet netizen yang mempersoalkan makanan di gerai pelakon itu tidak seperti yang digambarkan dan salah seorang pelanggan tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan. Dalam pada itu, Nabila beranggapan mereka yang mempertikaikan perkhidmatan gerainya itu segelintir pelanggan yang tidak bernasib baik. Malah, pelakon drama bersiri Dendam Aurora ini juga memohon maaf atas pengalaman buruk yang dilalui pelanggan tersebut. Nabila dan suaminya menguruskan perniagaan gerai makan. "Daripada semua pelanggan, mungkin awak adalah antara dua pertiga peratus pelanggan yang tak bernasib baik. Sebab ramai orang yang datang tak pernah cakap sambal tu kurang rasa, tiada aduan atau apa-apa. "Saya minta maaf atas pengalaman buruk anda. Dan saya ada katakan, kalau ada kekurangan terus beritahu. Jangan cakap belakang. Tak mungkin mereka main-main dengan awak atau ketawa. "Sebab mereka pakai mask tengah panggang ayam. Setahu saya perangai suami saya, bila orang mengadu, dia terus tukar yang baru dan gantikan semua serta minta dengan sopan," ujarnya. Waroeng Isabella diusahakan Nabila bersama suaminya, Mohd Izwan Johar yang dibuka di Rasta TTDI Kuala Lumpur. Antara makanan dijual di gerai ini ialah Nasi Ikan Gurami dan Ayam Taliwang.