suria

Ariff Bahran terus bertegas Sarah Suhairi bukan teman wanitanya!

Sarah suhairi dan Ariff Bahran menyangkal dakwaan mereka adalah pasangan kekasih. Foto ANIS ABDULLAH

PENYANYI Ariff Bahran menyangkal dakwaan juara program Big Stage, Sarah Suhairi adalah teman wanitanya ekoran satu kenyataan di sebuah portal berita mengatakan hubungan mereka mula serius sejak November 2018.

Sebaliknya kata Ariff, dia dan Sarah hanyalah sekadar rakan baik memandangkan mereka adalah artis bawah syarikat rakaman yang sama iaitu Rusa Music.

"Kami menafikan tentang khabar mengatakan kami bercinta kerana ketika ini saya dan Sarah hanyalah rakan baik sahaja.

"Saya sendiri tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan tentang hubungan kami dan ia mungkin salah faham," katanya.

Ariff dan Sarah ditemui pada sidang media pengumuman Senarai Top 5 ERA Digital Muzik Awards 2018 (EDMA 2018) yang diadakan pada Isnin.

Ariff dan Sarah mengakui rapat sebagai rakan biasa.

Penyanyi lagu Kata Akhirmu itu tersenarai dalam kategori Penyanyi Pilihan DEEJA manakala Sarah dicalonkan dalam tiga kategori iaitu Muzik Video Paling Hit (Nyawa Raga), Penyanyi Paling Hit Media Sosial dan Temubual Terbaik Carta ERA.

EDMA 2018 bakal berlangsung pada 25 Januari ini dan ia akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi stesen radio itu pada pukul 9 malam.

Bercakap lanjut mengenai perkara itu, Sarah pula memberitahu dia tidak menafikan Ariff adalah antara lelaki yang paling rapat dengannya ketika ini namun ia tidak bererti mereka mempunyai hubungan istimewa.

Jelas Sarah, pada tahap ini masih terlalu awal buat mereka berdua untuk berfikir tentang soal cinta kerana kerjaya nyanyian mereka baharu sahaja bermula selain usia yang masih muda.

"Sebenarnya kami sudah saling mengenali sebelum Big Stage lagi jadi apabila kami sertai program itu dan satu syarikat rakaman membuatkan hubungan itu bertambah rapat.

"Kalau diikutkan saya rapat dengan semua orang dan bukannya fokus kepada seseorang sahaja apabila berkawan.

Barisan artis yang tercalon menerusi ERA Digital Muzik Awards 2018 (EDMA 2018).

"Apa yang penting ketika ini adalah kami fokus kepada diri sendiri terlebih dahulu... Karier pun baru nak bermula, usia pun masih muda lagi," jelasnya.

Ariff pula memberitahu dia tidak mahu meletakkan sebarang tanda kepada hubungan mereka kerana tidak dapat meramalkan apa yang akan terjadi pada masa akan datang.

Namun yang pasti kata Ariff, dia selesa berkawan dengan Sarah sebagai teman dan selebihnya meletakkan kepada masa dan takdir.

"Kami go with the flow... Kalau ada orang mengharapkan kami bercinta, doa-doakan yang baik sebab kita sendiri tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang.

"Saya dan Sarah walaupun sudah kenal lama tetapi baru-baru ini sahaja kami akrab dan belum pun sampai tahap bercinta sudah ramai membuat pelbagai spekulasi," ujarnya.

Ariff Bahran, Sarah Suhairi

Artikel Lain