suria

Linda Rafar tuntut doktor bayar RM4 juta kerana dakwaan guna Facebook sebar fitnah

Linda bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap empat pihak termasuk seorang doktor yang dikenali sebagai Dr. Rusyainie.

PELAKON dan penyanyi Linda Rafar mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pengamal perubatan yang dikenali sebagai Dr Rusyainie Ramli atas penulisan berbaur fitnah menerusi Facebook wanita itu pada 9 Mei lalu.

Peguam Linda iaitu Nurul Hafidzah Hassan memberitahu selain Rusyainie tiga lagi pihak termasuk PW Community turut berhadapan tindakan undang-undang atas dakwaan fitnah.

Menerusi kenyataan yang dihantar kepada mStar pada Rabu, Linda telah menghantar lima pucuk surat tuntutan berasingan kepada Rusyainie bagi menuntut permohonan maaf secara terbuka dan juga pampasan sebanyak RM4 juta.

Menerusi tuntutan itu Linda mendakwa Rusyainie telah menulis dan menerbit lima bentuk penulisan (posting) berbaur fitnah dan komen-komen melampau ke atasnya di media sosial.

Keempat-empat pihak berkenaan diberi tempoh tujuh hari untuk memberi maklum balas sebelum tindakan susulan diteruskan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kes selesai cara baik, tiada siapa kalah atau menang”- Linda Rafar tak perlu bayar ganti rugi seperti didakwa


Penulisan Dr. Rusyainie menerusi laman FB miliknya yang didakwa berbaur fitnah terhadap Linda.

"Anak guam kami sedang meniliti sekiranya tindakan undang-undang perlu diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab melancarkan kempen fitnah berterusan ke atas dirinya serta memburukkan reputasi dan kredebiiti di mata peminat dan masyarakati,” kata Nurul Hafidzah.

Terdahulu isu pertelingkaran antara Linda dan para jururawat selesai selepas persetujuan luar mahkamah dibuat pada 8 Mei lalu.

Bagaimanapun menerusi posting di Facebook, Rusyainie berkata Linda perlu membayar sejumlah wang kepada jururawat terlibat sebagai ganti rugi terhadap penyelesaian tersebut.

Dalam pada itu, anggota kumpulan Elite ini telah menghantar tiga pucuk surat tuntutan yang serupa kepada tiga pihak lagi untuk menuntut pampasan sebanyak RM1.5 juta.

Linda beri masa tujuh hari untuk Rusyainie memberi maklum balas terhadap surat tuntutannya.

Tindakan tersebut dilakukan berikutan dakwaan fitnah daripada penulisan yang mencalarkan peribadi Linda dan ia disifatkan sebagai satu bentuk pembunuhan karakter ke atas dirinya.

Malah, Linda juga menerima persepsi negatif daripada masyarakat selepas fitnah tersebut biarpun maklumat yang disebarkan adalah tidak benar.

Bagi Linda, penulisan oleh mereka telah membuatkan orang ramai percaya dan memaparkan dia sebagai seorang yang mempunyai moral yang buruk, manipulatif, penipu dan selebriti yang mempunyai niat buruk terhadap semua jururarawat di negara ini.

Isu antara Linda dan jururawat bermula apabila selebriti itu melahirkan rasa kecewa terhadap sekumpulan jururawat di sebuah hospital di Shah Alam yang didakwa memberi layanan buruk apabila permintaannya untuk menukar cadar katil ibunya tidak diendahkan pada Disember tahun lalu.

Susulan insiden itu, pihak Delegation of Nurses (DON) mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap selebriti wanita berkenaan.

Linda Rafar

Artikel Lain