PENCETUS Ummah (PU) dan pelakon Rizz terkejut apabila ada ustaz selebriti meletakkan harga yang terlalu tinggi sebagai bayaran ceramah untuk sesebuah program. Menurut Rizz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 24, harga tersebut disifatkan tidak masuk akal untuk menyebarkan ilmu agama. "Semalam ada salah seorang dari produksi hubungi saya dan bertanya 'ustaz berapa ribu ustaz letak harga kalau nak jemput datang tempat/TV saya?'. "Saya macam eh kenapa beribu. Ingat dia macam main-main saja. Lepas tu dia balas bukan main-main la kita tanya sebab ustaz ** harga dia RM3,000 tanpa diskaun. "Sepanjang saya hidup duk buat dakwah ni tak pernah lagi seumur hidup letak harga untuk bagi ilmu agama," kata Rizz menerusi laman sosialnya. ARTIKEL BERKAITAN: “Ketatnya sampai terasa panas walaupun di negara sejuk!” - PU Rizz pakai seluar 'skinny' untuk ubah penampilan Antara luahan PU Rizz mengenai segelintir ustaz selebriti yang meletakkan harga tinggi untuk beri ceramah. Rizz juga berasa malu dan sedih apabila ada dalam kalangan pendakwah yang meletakkan harga tinggi seakan menjual ilmu. Katanya, ia tidak logik dan hanya mendatangkan fitnah kepada pendakwah yang ikhlas menyebarkan ilmu agama. "Dia kata tiada diskaun, malu kita mendengarnya. Kita hadir sebagai pendakwah bukan nak buat duit jual ilmu. "Kita berharap Allah balas dengan ilmu yang tak banyak ni. Sedih bila ada di antara mereka yang menampakkan begitu. "Bukan Allah suruh kita minta bayaran mahal-mahal faham tak? RM3,000 ni tak masuk akal untuk masjid kuliyyah subuh atau di rumah anak yatim. PU Rizz beri peringatan kepada diri sendiri dan ustaz selebriti. "Jangan jadi fitnah pada agama. Jadilah logik. Apa yang anda lakukan selepas itu, minta banyak-banyak sebab anda popular untuk apa?" ujarnya. Dalam pada itu, Rizz memberitahu apa yang dikongsikan itu sekadar pengingatan buat dirinya dan semua yang bergelar ustaz selebriti. Menurutnya, tidak salah untuk seseorang pendakwah itu meletakkan harga untuk minyak atau tol namun perlu beringat tujuan sebenar belajar dan menyampaikan ilmu agama. "Ini peringatan yang baik untuk diri saya dan semua yang bergelar 'ustaz selebriti' ke apa sahaja yang anda gelar! Ia tidak haram untuk anda dapatkan sedikit duit. "Betul la nak bayar minyak, tol dan sebagainya tapi kena ingat tujuan anda, apa tujuan anda belajar dan sebar ilmu agama. Niat untuk siapa?" katanya.