suria

Peserta Dewi Remaja beri alasan karpet berlubang, 3 kali tersungkur ketika ‘catwalk’

Insiden memalukan itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk teruskan minat dalam bidang peragaan.

TERSUNGKUR ketika di pentas tentunya menjadi mimpi buruk bagi mana-mana individu yang mempamerkan aksi catwalk.

Momen tidak diduga itu berlaku kepada salah seorang peserta Dewi Remaja 2019, Farzana Zainul Abidin, 22, pada acara memperkenalkan peserta rancangan berkenaan pada Selasa.

Bukan sekali, tapi Farzana jatuh sebanyak tiga kali ketika sedang catwalk di hadapan tetamu dan para media selepas namanya dipanggil.

ARTIKEL BERKAITAN: Peserta Dewi Remaja 2019 ‘dikurung’ 54 hari, elak kontroversi pesta arak berulang

Ketika ditemui selepas insiden itu, Farzana berkata keadaan karpet yang menghampari laluan berkenaan menjadi punca dia gagal mengawal pergerakannya hingga terjatuh.

"Saya okay saja, ini bukan kali pertama saya catwalk malah saya bukannya tak biasa pakai heels tapi karpet pentas tu berlubang.

Momen ketika Farzana terjatuh sebanyak tiga kali.

"Akibat tersalah langkah ketika berjalan, bucu heels saya tak sengaja melalui permukaan karpet yang tidak rata itu sehingga menyebabkan saya jatuh sampai tiga kali," katanya kepada mStar.

Mahasiswa dari sebuah universiti awam itu ditemui ketika sidang media pencarian 12 finalis Dewi Remaja 2019 di Nicsmann 1940s By Lewre, The Starling Mall, Petaling Jaya.

Walaupun terjatuh, Farzana dilihat masih tersenyum dan meneruskan aksinya dengan penuh yakin.

Situasi itu menyebabkan hadirin yang hadir memberi tepukan gemuruh.

Sungguhpun tidak terpilih dalam kalangan 12 peserta, Farzana berkata kejadian memalukan itu tidak akan mematahkan semangat untuk terus mencuba dalam bidang yang diminatinya itu.

Dewi Remaja edisi ke-10 ini bakal bersiaran setiap hari Sabtu, pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123)bermula 26 Oktober.

Dewi Remaja, Farzana Zainul

Artikel Lain