suria

“Berani kerana benar... nak saman atau apa sekali pun, saya bersedia” - Lufya fail cerai, kesal suami tidak hadir ke mahkamah

Lufya terkilan dengan sikap suaminya yang seakan sengaja melengahkan urusan perceraian mereka.

PELAKON Lufya terkilan dengan suaminya Dr Che Muhammad Hafiz yang seolah-olah melengahkan kemelut rumah tangga yang melanda mereka apabila tidak hadir pada sebutan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Subang Bestari, Petaling Jaya pada Rabu.

Lufya atau nama sebenarnya, Lutfyah Sheikh Omar, 34, berkata, dia memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya pada bulan lalu kerana enggan meneruskan perkahwinan yang dianggap penuh negatif.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Che Hafiz buat laporan polis terhadap Lufya - “Semua tuduhan terhadap saya tidak benar dan keterlaluan!”

ARTIKEL BERKAITAN: Lufya dakwa tak bahagia, jadi mangsa aniaya suami... “Aku pernah sakit, aku kemurungan”

Dr Che Hafiz membuat laporan polis terhadap isterinya pada awal Oktober lalu.

"Saya sudah empat bulan lebih digantung tidak bertali... Dia susah dihubungi dan tidak mahu berbincang dengan baik.

"Dia juga tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik terhadap saya dan anak kami. Sepatutnya perkara ini boleh diselesaikan tapi dia seolah-olah mahu melengahkan hal ini.

"Siapalah yang berkahwin mahu bercerai, tapi saya dapat petunjuk sebaliknya. Saya tidak mahu lagi terus berada dalam perkahwinan yang penuh toksik ini,” katanya menerusi laporan Harian Metro.

Lufya selaku plaintif memfailkan permohanan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 terhadap suaminya pada bulan lalu.

Saya tidak mahu lagi terus berada dalam perkahwinan yang penuh toksik ini.

LUFYA

Pelakon

Bagaimanapun, Dr Che Muhammad Hafiz yang juga defendan tidak menghadirkan diri dalam prosising di hadapan Hakim Syarie Shukran Yusof.

Dalam prosiding itu, peguam syarie Fadhlina Siddiq yang mewakili Lufya memaklumkan saman kepada defendan sudah diserahkan di tempat kerjanya di Jempol, Negeri Sembilan pada 7 Oktober lalu.

"Pihak kami tiada maklumat mengenai ketidakhadiran defendan pada hari ini dan memohon tarikh lain untuk sebutan permohonan cerai," katanya.

Shukran kemudian menetapkan 18 November depan bagi kedua-dua pihak hadir dan memaklumkan prosiding boleh diteruskan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan Hakam.

Lufya bersedia berhadapan dengan sebarang tindakan selepas suaminya membuat laporan polis terhadapnya.

Sementara itu, Lufya memberitahu dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan sebarang tindakan undang-undang selepas suami membuat laporan polis terhadapnya pada awal Oktober lalu.

"Berani kerana benar... nak saman atau apa sekali pun, saya sudah bersedia," katanya.

Kemelut rumah tangga pasangan ini mula menjadi perhatian netizen apabila Lufya mendedahkan sikap suaminya yang mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga di Instagram.

Lufya juga ada mendakwa suaminya itu telah melakukan penganiayaan terhadap dirinya dan berikutan itu, Dr Che Hafiz bertindak membuat laporan polis.

Pasangan tersebut diijabkalbukan pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Laana Haura yang kini berusia dua tahun.

Lufya, Dr Che Muhammad Hafiz

Artikel Lain