SUAMI kepada pelakon Lufya iaitu Dr Che Muhammad Hafiz menafikan dakwaan kononnya dia menganiaya isteri dan anaknya dengan mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Tegas Dr Che Hafiz, biarnya mengakui sudah tidak tinggal sebumbung bersama Lufya, namun dia tetap memberi nafkah terhadap anak mereka, Laana Haura yang kini berusia dua tahun. “Dakwaan tentang gantung tak bertali dan tidak menjalankan tanggungjawab... itu kena tanya dia sendiri. Sebab untuk pengetahuan semua, saya sudah menjalankan tanggungjawab terhadap anak kami. ARTIKEL BERKAITAN: “Berani kerana benar... nak saman atau apa sekali pun, saya bersedia” - Lufya fail cerai, kesal suami tidak hadir ke mahkamah ARTIKEL BERKAITAN: Dr Che Hafiz buat laporan polis terhadap Lufya - “Semua tuduhan terhadap saya tidak benar dan keterlaluan!” “Tidak pernah lagi saya mengabaikan anak kami seperti yang didakwa. Cuma, kalau ada yang dia keluar pergi mana-mana tu, saya tidak tahu sebab kami tidak lagi tinggal sebumbung,” katanya kepada mStar. Dr Che Hafiz berkata dia tetap memberi nafkah terhadap anak mereka, Laana Haura yang kini berusia dua tahun. Sementara itu Dr Che Hafiz enggan memberi sebarang kenyataan lanjut mengenai kegagalannya hadir pada prosiding sebutan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Petaling Jaya pada Rabu. “Saya tidak mahu mengulas mengenai isu tidak hadir ke mahkamah hari ini sebab saya sudah berurusan dan memaklumkan perkara itu kepada pihak mahkamah melalui surat,” katanya. Lufya selaku plaintif memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 terhadap suaminya pada bulan lalu. Susulan ketiadaan Dr Che Hafiz, mahkamah menetapkan tarikh baharu iaitu pada 18 November depan bagi kedua-dua pihak hadir dan memaklumkan prosiding boleh diteruskan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan Hakam. Kemelut rumah tangga pasangan ini mula menjadi perhatian netizen apabila Lufya mendedahkan sikap suaminya yang mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga di Instagram. Lufya juga ada mendakwa suaminya itu telah melakukan penganiayaan terhadap dirinya dan berikutan itu, Dr Che Hafiz bertindak membuat laporan polis. Pasangan tersebut diijabkabulkan pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata.