suria

Mampu ‘angkat’ Mercedes Benz CLA sebab scammer? Danial Zaini lapor polis - “Mereka dakwa saya beli kereta kerana pelaburan!”

Danial membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada Selasa.

KECEWA apabila gambarnya digunakan tanpa kebenaran bagi tujuan yang diragui, pelawak dan penyampai radio Era FM akhirnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada Selasa.

Menurut Danial atau nama sebenarnya Mohamad Danial Mohd Zaini, 27, dia menjadi mangsa apabila fotonya bersama kereta mewah dijadikan bahan iklan skim pelaburan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tayang kereta baharu Mercedes Benz CLA, Danial Zaini akui tidak sengaja kongsi kepada umum - “Hasil kerja 10 tahun dapat juga beli kereta idaman”

ARTIKEL BERKAITAN: Danial Zaini bandingkan ‘followers’ Coki dengan Bront Palarae - “Jangan ukur bakat seni dari jumlah pengikut di IG”

"Saya tak tahu fasal benda (iklan pelaburan) ni. Ia terjadi hari Ahad lalu dan ramai yang DM (direct message) bertanya sama ada saya adalah individu dalam iklan berkenaan.

Iklan skim pelaburan yang menggunakan foto Danial tanpa kebenaran.

"Selepas disemak saya syak ia adalah scammer," kata Danial kepada mStar selepas selesai membuat laporan polis.

Tambah Danial lagi dia bimbang sekiranya orang ramai terpedaya dengan iklan berkenaan jika ia terus dibiarkan.

"Saya takut apabila orang guna muka saya. Selepas berbincang dengan pihak pengurusan dan peguam, mereka menasihatkan supaya laporan polis dibuat.

"Kalau ada makcik-makcik berniaga kerepek nak guna gambar saya dengan izin tak mengapa. Tapi yang ni dah la tak minta izin, buat pula pelaburan yang belum tentu sahih.

Danial tidak mahu orang ramai terpedaya dengan iklan yang tiada kaitan dengannya.

"Mereka dakwa saya beli kereta sebab pelaburan... sebab scam! Saya rasa perbuatan ni dah melebih!" katanya.

Pada Ahad lalu Danial berkongsi paparan skrin iklan berbayar daripada aplikasi Instagram berkaitan skim pelaburan dengan menggunakan foto dia disamping kereta mewah jenis Mercedes Benz CLA miliknya tanpa kebenaran.

Kapsyen pada posting itu menggambarkan seolah-olah Danial mencapai kejayaan melalui skim pelaburan berkenaan.

Ditanya mengenai tindakan susulan yang bakal diambil sekiranya pihak berkenaan berterusan menjadikan dia sebagai bahan iklan, Danial berkata dia tidak teragak-agak untuk memfailkan saman.

"Jika mereka masih berdegil mungkin akan ambil tindakan saman, saya akan bincang dengan peguam mengenainya," kata Danial.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain