suria

Polis panggil Azwan Ali gara-gara perlekeh proklamasi darurat diisytiharkan Agong

PDRM memanggil Azwan untuk membantu siasatan berhubung penularan sebuah klip video baru-baru ini.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap pengacara sensasi, Azwan Ali kerana dipercayai memperlekehkan proklamasi darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan dilakukan selepas polis menerima laporan mengenai klip video Azwan Ali atau lebih dikenali Diva AA.

Rakaman video berdurasi 41 saat ditularkan pemilik akaun Facebook Zai Mikail pada 12 Januari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Azwan Ali mengaku bersalah hina kakitangan perubatan, didenda RM17,000

“PDRM mengesahkan menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan terhadap klip video Azwan Ali kerana didapati telah memperlekehkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Rakaman video itu telah ditularkan oleh pemilik akaun Facebook Zai Mikail pada 12 Januari lalu.

“Azwan Ali telah dipanggil ke pejabat USJT, Bukit Aman bagi membantu siasatan. Siasatan akan diteruskan untuk mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang telah memuat naik dan menularkan klip tersebut, ” katanya menerusi satu kenyataan media.

Azwan Ali dipanggil membantu siasatan mengenai satu rakaman klip video yang tular.

Siasatan dijalankan oleh USJT di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, Huzir turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhemah menggunakan media sosial dan tidak memuat naik sesuatu yang boleh mencetuskan perbalahan dan menggangu ketenteraman awam.

“PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform tersebut sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta mengganggu gugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam keselamatan dan ketenteraman awam, ” ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain