suria

Foto latar belakang ‘fitting’ baju pengantin jadi perhatian! Neelofa, PU Riz menghitung hari - “Doakan saya...“

Neelofa muat naik sepotong doa memohon urusannya dipermudahkan.

KHABAR ANGIN mendakwa pengacara Noor Neelofa Mohd Noor bakal mendirikan rumah tangga hujung minggu ini semakin bertiup kencang apabila memuat naik status di Instagram memohon orang ramai mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan.

Meskipun tidak dinyatakan tujuan hantaran tiga potongan doa itu, namun peminat mengandaikan ia berkaitan majlis perkahwinannya dengan Pencetus Ummah (PU) Riz atau nama sebenar Haris Ismail, 26.

"Wahai Tuhanku, tiada kemudahan melainkan apa yang Engkau jadikan mudah dan perkara yang susah boleh Engkau jadikan mudah apabila Engkau mengkehendakinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Neelofa pula nikah minggu ini? Ada saksi nampak PU Riz belek samping songket

"Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmat Mu aku meminta pertolongan.

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku, dan mudahkanlah bagiku urusanku.

”Dengan rahmat Mu aku meminta pertolongan ya Allah. Doakan saya dalam doa-doa kalian," tulisnya.



Neelofa muat naik potongan doa di Instagram.

Lebih menarik perhatian netizen apabila Neelofa, 32, memuat naik doa tersebut berlatar belakang koleksi foto dirinya.

Malah, foto itu juga kelihatan seperti dia sedang mencuba pakaian atau sesi fitting baju pengantin.

Ia secara tidak langsung menguatkan lagi spekulasi bekas pengacara program MeleTOP ini bakal menamatkan zaman bujang pada Jumaat ini dan dipercayai berlangsung di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur.



Ciapan seorang netizen yang mendedahkan tentang majlis pernikahan Neelofa dan Pu Riz.



Menerusi ruangan komen, rata-rata pengikut mendoakan supaya urusan Neelofa dipermudahkan.

Ini diperkuatkan lagi dengan ciapan seorang individu yang mendedahkan perkara itu di laman Twitternya.



Pasangan ini didakwa bernikah hujung minggu ini.



Neelofa, PU Riz kunci mulut mengenai hari bahagia mereka.

Pada Disember tahun lalu, Neelofa dalam kenyataannya menafikan dakwaan sudah melangsungkan perkahwinan dengan Riz dan dinikahkan bapa kandungnya di Kelantan.

Neelofa turut menafikan tuduhan yang mendakwa kononnya dia terkena ubat pengasih dan memindahkan sejumlah wang kepada pendakwah muda itu.

Kisah hubungan cinta pasangan ini mendapat perhatian ramai apabila Neelofa dikatakan tidak lagi memakai cincin merisik pemberian keluarga Riz.

Bagaimanapun pada awal tahun ini, Neelofa dilihat memakai semula cincin terbabit di jari manisnya sekaligus membuktikan hubungan cinta mereka masih berada dalam keadaan baik.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain