suria

Sengketa Search bersama Amy belum selesai! Nasir pula didakwa tak cakap betul, buat pusingan ‘U’

Din (kiri) bersama Mozylir (kanan) mempersoalkan penglibatan Amy dalam isu yang berlaku dalam kumpulan Search.

KEMELUT anggota kumpulan Search iaitu adik-beradik Nordin dan Kit dengan bekas vokalisnya Amy serta pemain bes, Nasir terus berpanjangan apabila wujud lagi soal tidak puas hati sesama mereka.

Kali ini, pemilik dan pengurus Home of Champions (HOC), Mozylir Mokhtaruddin tampil menafikan dakwaan Amy dan Nasir kononnya syarikat itu tidak mendapat kebenaran untuk menggunakan jenama kumpulan legenda tersebut berhubung pengeluaran produk.

Menurut Mozylir, secara asasnya dia sudah mendapatkan persetujuan untuk mengeluarkan produk dan aksesori rasmi Search daripada anggota kumpulan itu sendiri iaitu Nordin Mohd Taib (Din), Hamzah Mohd Taib (Kid) termasuklah Nasir Daud (Nasir).

ARTIKEL BERKAITAN: Isu guna nama Search tanpa kebenaran... peniaga masih belum terima tuntutan, terus jual seperti biasa

Bagaimanapun Mozylir terkejut apabila Nasir secara tiba-tiba membuat pusingan 'U' dengan mengatakan dia tidak mengetahui mengenai hal berkenaan.

Din (kiri) bersama Mozylir di sidang media yang diadakan secara maya.

"Dakwaan mengatakan HOC tidak mendapat kebenaran daripada pihak Search khususnya Amy dan Nasir adalah tidak benar sama sekali.

"HOC mendapat persetujuan dan kebenaran bagi mengeluarkan produk dan aksesori rasmi Search daripada pihak Search iaitu Din, Kid dan Nasir sebelum ini.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Segala dokumen melibatkan produk, reka bentuk, kuantiti yang dicadangkan dan agihan bayaran royalti kepada setiap individu yang berkaitan dengan pihak Search juga ditandatangani oleh Din.

"Namun kenyataan yang dibuat Nasir tidak benar kerana dia lebih tahu tentang penglibatan HOC sejak daripada tahun lalu. Nasir tahu mengenai semua perancangan," katanya.

Amy sudah meninggalkan kumpulan Search 20 Mac tahun lalu.

Mozylir bersama Din memberi kenyataan balas terhadap dakwaan Amy dan Nasir menerusi sidang media yang diadakan secara maya pada Jumaat yang turut disertai mStar.

Sebelum ini, Amy, Nasir dan waris Allahyarham Yazit memberi amaran kepada Mozylir dan HOC atas tindakan menggunakan nama kumpulan Search untuk mengaut keuntungan tanpa kebenaran dengan mengeluarkan produk atas nama kumpulan berkenaan.

Individu dan syarikat berkenaan didakwa menggunakan nama 'fenomenasearch' melalui laman web bagi menjual pakaian dan aksesori.

Ia termasuk penjualan kasut Aliph X Search - Edisi 2021 atas dasar penjualan terhad kepada 999 unit.

Sebelum ini, saya cuba beberapa kali hubungi Amy tapi gagal.

MOZYLIR MOKHTARUDIN

PEMILIK HOC

Dalam pada itu, Mozylir memberitahu dia sudah beberapa kali cuba untuk menghubungi Amy namun usahanya gagal.

"Sebelum ini, saya cuba beberapa kali hubungi Amy tapi gagal. Saya ada bukti yang saya hubungi dia tapi tak ada respons. Malah saya dengan Nasir pun selalu berhubung sebelum isu ini timbul.

"Kami kerap berjumpa sebab dia berada di Johor Bahru. Kadang-kadang kongsi idea apa yang dia rasa bagus untuk naikkan jenama, bertukar idea dan dia memang tahu apa saja yang kita nak buat.

"Saya ada bukti melalui panggilan telefon, gambar dan perbualan WhatsApp dengan Nasir. Sebab itu, saya agak terkejut apabila Nasir menafikan sedangkan saya ada bukti untuk mengesahkan perkara itu," ujarnya.

Foto kenangan anggota Search iaitu Kit (dari kiri), Nasir, Amy, Allahyarham Yazit dan Nordin.

Dalam pada itu, Din berharap Nasir tampil menjelaskan perkara sebenar dan bukannya membuat dakwaan yang tidak tepat.

“Nasir seharusnya tampil menjelaskan perkara sebenar. Jika dia boleh datang dan berbincang terlebih dahulu, kami semua boleh elakkan pergaduhan.

"Memang tak ada tandatangan apa apa, namun pada dasarnya dia (Nasir) bersetuju, sementara Amy pula memang gagal dihubungi sama ada secara panggilan telefon atau kiriman WhatsApp.

"Memandangkan dia sudah tidak bersama Search, jadi saya tak boleh tunggu. Kami uruskan ini bersama Nasir kerana selama lebih 20 tahun, Nasir banyak menguruskan Search, dan kami jalan kerana Nasir mengetahui projek ini," katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakli Mozylir dan HOC iaitu Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar berkata, Amy sepatutnya tidak lagi terlibat dalam kegiatan Search memandangkan dia sudah keluar daripada kumpulan tersebut.

Gambar Search yang dirakam pada 2011.

Menurutnya, isu penggunaan nama Search ini juga boleh diselesaikan dengan cara baik sekiranya semua pihak berkomunikasi serta bersemuka untuk berbincang.

"Ikut perundangan, kalau orang itu dah keluar daripada sebuah persatuan atau kumpulan, maknanya dia tidak akan terlibat lagi. Lebih-lebih lagi dalam sebuah band sebab tak ada perjanjian secara bertulis antara sesama ahli.

"Secara kasarnya apabila dia sudah keluar daripada kumpulan itu, maka dia tidak lagi perlu melibatkan diri dengan apa-apa kegiatan kumpulan itu di masa akan datang.

"Namun sebenarnya isu ini boleh diselesaikan jika semua pihak berkomunikasi daripada awal atau bersemuka untuk berbincang. Kalau nak bawa ke mahkamah, makan masa dan kos yang banyak," ujarnya.

Untuk rekod, Amy mengumumkan dia keluar daripada Search pada 20 Mac tahun lalu sewaktu tampil pada sesi wawancara dalam sebuah portal hiburan.

Menurut Nordin, Amy turut menyerahkan surat sebagai tanda untuk tidak lagi terlibat dengan kumpulan itu secara rasmi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain