suria

Amin Idris minta Rita Rudaini tidak melenting, tapi bersedia untuk ditegur jika suka mengkritik - “Kalau terasa baguslah... fikir balik tindakan dia”

Amin Idris tampil menjawab reaksi dan respon pelakon Rita Rudaini.

GARA-GARA mempersoalkan tindakan golongan anti vaksin memalsukan sijil digital vaksin Covid-16, penceramah motivasi Amin Idris dituduh mencetuskan provokasi.

Tindakan Amin itu menimbulkan rasa kurang senang pelakon Rita Rudaini yang menganggap pengacara program Tazkirah Malam Jumaat ini seolah-olah sengaja membuka ruang untuk netizen berbalah.

Amin, bagaimanapun menjelaskan apa yang dilakukan itu adalah bagi memberi maklumat yang berasas kepada orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu majlis buka puasa langgar SOP, Amin Idris cerita keadaan sebenar... tak salahkan influencer punca viral

"Saya baru tahu Rita Rudaini ada respons. Pendekatan saya daripada dulu bukan jenis mengata orang.

"Saya hanya respons kepada tindakan mereka dan beri input kepada orang ramai.... kalau orang itu terasa, baguslah.



"Semoga dia fikir balik tindakan dia. Apa yang saya tulis disertakan dengan hujah dan dalil.

"Saya tidak sampai tahap tuduh orang ejen Yahudi. Kalau tak setuju dengan saya, silakan bawa hujah dan dalil. Saya okey saja," katanya kepada mStar.

Terdahulu, aktres Rita Rudaini berkongsi semula posting Amin di Instagram dengan mempersoalkan tujuan pengacara itu bertindak demikian.

Menurut Rita, posting tersebut mengajak orang ramai untuk bertelagah antara satu sama lain dan bukan untuk berdakwah.

Kalau kita nak kritik orang, maka bersedialah juga untuk dikritik. Termasuk saya

AMIN IDRIS

PENCERAMAH MOTIVASI

"Saudara ni nak mengumpat ke dan berdakwah?

"Posting kapsyen awal ada unsur mengajak orang ke arah mengumpat dan disudahi dengan hadis.

"Kalau nak tulis kapsyen yang nak memanggil orang untuk mengumpat dan bertelagah lebih baik fokus dekat situ saja," tulis Rita.

Sementara itu, tambah Amin lagi, teguran secara terbuka itu ditujukan kepada golongan yang menolak vaksin termasuk golongan selebriti.

Amin juga menegaskan orang ramai sepatutnya menerima teguran dengan hati terbuka.

Ujarnya, golongan tersebut sepatutnya bersikap terbuka kerana mereka juga pernah menyebarkan berita-berita yang tidak baik kepada masyarakat tentang vaksin.

AMIN

Amin minta Rita Rudaini sedia dikritik.



"Saya hanya respon kepada siri-siri sebaran terbuka termasuk oleh sebilangan kecil selebriti berkempen menolak vaksin malah salah guna dalil agama.

"Apabila saya jawab, mereka melenting. Tapi apabila mereka sebar... malah siap tuduh macam-macam boleh pula?

"Kalau kita nak kritik orang, maka bersedialah juga untuk dikritik. Termasuk saya," ujarnya.

Terdahulu pada malam Khamis, Amin memuat naik posting mempersoalkan sikap anti vaksin yang turut mahukan sijil digital bagi penerima dua dos vaksin.

"Sibuk bula puak tu nak juga. Macam dekat sekolah masa orang join aktiviti kokurikulum kau mengata poyo, bila akhir tahun sibuk nak sijil.

"Kita percaya pihak berautoriti agar amanah, jangan sampai buat bisnes dan sanggup makan rasuah untuk tipu sijil digital," ujarnya.

Individu yang mengambil kedua-dua suntikan vaksin Covid-19 akan diberikan sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera, serta lencana imunisasi.

Sijil dan lencana itu bukti individu berkenaan sudah menerima dos vaksin yang lengkap, sekiranya itu menjadi keperluan pada masa depan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain