PENGACARA Nadia Annuar membuat kejutan apabila memuat naik foto tanpa mengenakan hijab sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-39 tahun pada Khamis. Nadia atau Nadia Shahrul Annuar bagaimanapun mengakui kesilapan yang dilakukan dan memohon agar diberikan ruang serta masa buat dirinya. Kakak kepada pelakon Harris Annuar itu juga memohon maaf sekiranya tindakannya itu bakal menimbulkan rasa kurang senang peminat dan netizen. Nadia mohon jangan libatkan keluarga dengan keputusan yang dibuat. "Tak mengapalah kecamlah sepuas hati. Saya reda sebab semua ini kekhilafan saya sendiri. Saya pun tak mahu bagi alasan sebab kita semua pun tahu apa yang wajib. "Cuma saya minta diberikan sedikit ruang dan masa. Maafkan saya sekiranya kekhilafan saya ini membuatkan anda kurang senang dan benci kepada saya," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Isteri Haqiem Rusli tampil berselendang, padam semua gambar bertudung di Instagram ARTIKEL BERKAITAN: Imej manis bertudung sudah tiada, Alya Iman post gambar raya tak lagi berhijab Nadia berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya pada malam Khamis. Dalam pada itu, Nadia memberitahu terlalu banyak perkara yang dilalui olehnya sebelum ini dan dia meminta agar ahli keluarganya tidak dipersalahkan kerana apa dilakukan ini adalah atas keputusannya sendiri. "Terlalu banyak yang saya lalui dan tak dapat saya kongsikan. Sekali lagi saya minta maaf kerana kecewakan anda. "Satu lagi saya minta sangat jangan kaitkan dengan ibu atau ahli keluarga yang lain. Bukan salah mereka. Ini semua adalah keputusan saya sendiri," ujarnya. Pun begitu, Nadia menjelaskan ibunya iaitu usahawan Zaiton Hassan atau lebih dikenali sebagai Kak Ton telah membesarkannya dengan baik serta memberikan nasihat. "Ibu saya seorang insan dan ibu yang hebat. Dia sudah membesarkan saya dengan baik dan menasihatkan saya. "Malah adik saya juga sudah memberi nasihat. Anda boleh letakkan kesalahan ini pada saya dan jangan kecam mereka. Saya insan yang tidak sempurna," katanya. Sebelum itu, Nadia membuat ucapan ulang tahun kelahiran menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya dengan foto yang tidak mengenakan hijab. Perkongsian Nadia di Instastory. Dia turut mengakui kelemahan diri dan berharap agar diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik. "Alhamdulillah bertambah lagi setahun usia saya. Apa yang kita anggap sebagai kekuatan terbesar kita juga boleh menjadi kelemahan terbesar kita. "Saya telah melalui banyak fasa dalam kehidupan ini. Walaupun segala keburukan itu saya anggap sebagai kekurangan diri, saya harap agar Allah terus mengurniakan saya kekuatan untuk menjalani kehidupan ini dengan cara yang Dia kehendaki," ujarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!