suria

“Bayaran dah siap kenapa tak datang ambil?” – Awesome TV turut dedah Atu menipu, langgar kontrak

Awesome TV sudah sedia bayaran untuk Atu.

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Awesome TV iaitu Datuk Adam Ilyas dan Pengarah Urusannya, Johan Ishak mendakwa pelawak Atu Zero masih belum lagi mengambil bayaran yang telah disediakan oleh pihak mereka.

Adam memberitahu, sudah sebulan bayaran untuk Atu atau Sharif Kunal Doli Sharif, 31, diluluskan namun pelawak itu masih enggan menuntut pembayaran tersebut di stesen TV berkenaan.

"Bayaran dia pun kami dah sediakan. Kami cakap kalau nak bayaran datang ambil tapi dia yang tak datang. Dah sebulan bayaran dia kami sediakan," katanya kepada mStar bagi menjawab persoalan artis itu yang mendakwa tidak menerima bayaran stesen berkenaan selepas selesai melaksanakan tugas dengan mereka.

atu1 - 1

Atu masih belum mengambil bayaran di pejabat Awesome TV.

Dalam pada itu, Johan pula turut mendedahkan Atu berdepan dengan kesalahan disiplin kerana menghilangkan diri sewaktu menjalani program siaran langsung Awesome Raja Lawak sebelum ini.

Kata Johan, pihak Awesome TV mengambil pendekatan untuk bertemu dalam usaha berbincang dengan pelawak mengenai hal berkenaan, sekali gus melunaskan bayaran seperti yang dituntut.

ARTIKEL BERKAITAN: Atu Zero bakal terima bayaran tapi dilabel 'anjing makan tuan'

ARTIKEL BERKAITAN: Atu Zero terpaksa merayu minta bayaran, dedah guna duit sendiri ketika penggambaran Awesome Raja Lawak

"Isu disiplin yang dia menghilang tu, cuba bayangkan ia adalah sebuah program siaran langsung. Dia boleh lari, menggelabah kami.

"Itu fasal kami panggil dia datang ambil bayaran ni sebab nak bincangkan tentang isu lari itu juga.

"Kau nak gaduh dengan kau punya periuk nasi buat apa? Benda boleh bincangkan," ujarnya.

Kami cakap kalau nak bayaran datang ambil tapi dia yang tak datang. Dah sebulan bayaran dia kami sediakan.

DATUK ADAM ILYAS

CEO AWESOME TV

Adam bagaimanapun menyangkal dakwaan dibuat oleh Atu sebelum ini yang mengatakan tidak tahu diminta untuk naik ke atas pentas sewaktu program siaran langsung itu bermula.

Malah, pihak stesen televisyen tidak diberi sebarang makluman dan mendapat tahu Atu telah pulang tanpa melunaskan komitmen yang sudah diberi.

"Atu tu dia sebenarnya banyak menipu. Dalam kenyataan dia cakap dia balik kerana tidak tahu kena naik atas pentas. Katanya masa hari kejadian baharu tahu.

"Padahal perkara itu telah dimaklumkan seminggu sebelum. Mereka dah buat sesi latihan semua. Dia tipu cakap kami tak beritahu dia.

"Patutnya Tauke, Ajak dan Atu setiap segmen mereka perlu naik atas pentas buat sketsa. Separuh jalan Atu hilang lari balik. Tak ada cakap apa, siapa pun tak tahu, tengok-tengok dia dah lari balik," ujarnya.

Tambah Adam lagi, isu ini bermula apabila isteri Atu iaitu Syafeeqa Johari menuntut bayaran penuh termasuk baki bayaran yang tidak boleh dikeluarkan lagi mengikut perjanjian.

Malah, menurut Adam pihak Awesome TV sepatutnya boleh mengambil tindakan terhadap Atu kerana pelanggaran kontrak, namun mereka tidak mahu melakukan hal demikian.

"Bayaran yang kami sediakan RM25,000. Isteri dia jumlahkan semua padahal benda belum due lagi pun dia kira dah.

atu2 - 1

Adam kecewa dengan tindakan Atu.

"Kalau nak cakap tentang isu ini, kami sebenarnya boleh ambil tindakan kerana dia telah melanggar kontrak, tetapi kami tidak mahu," ujarnya.

Pada April lalu, Atu meluahkan rasa kesal apabila terpaksa menagih bayarannya daripada stesen televisyen Awesome TV.

Lebih malang, Atu mendakwa dia menggunakan wang sendiri sepanjang menjalani penggambaran namun apabila bayaran dituntut dia hanya diberi janji kosong.

Dalam pada itu pihak mStar turut ditunjukkan mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar kepada isteri Atu bagi memaklumkan bayaran dituntut itu sudah sedia untuk diambil di pejabat Awesome TV.

Bagaimanapun menerusi satu rakaman suara, isteri Atu yang juga pengurusnya menyatakan syarat-starat tertentu sebelum bersedia untuk menuntut bayaran yang belum dijelaskan stesen TV berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain