suria

Ibu yakin anak tak amal seks songsang… ramai perempuan minat, nak elak semasa PU Azman pegang

PU Azman dilihat tenang ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa.

IBU kepada mangsa kedua kes amang seksual membabitkan Pencetus Ummah (PU) Azman yakin anak lelakinya bukan pengamal seks songsang dan apa dilakukan tertuduh adalah secara paksaan.

Wanita berkenaan memberitahu mahkamah dia percaya anaknya tidak melakukan perbuatan terkutuk itu malah telah mengelak apabila tertuduh memegangnya.

"Anak saya tidak songsang. Dia normal. Dia tidak melakukan perkara begitu. Dia kata ramai perempuan minat padanya.

"Masa tertuduh pegang, dia nak elak sebab tak suka. Perbuatan itu macam paksaan," katanya.

Saksi kelima itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan iaitu Datin Surita Budin.

WhatsApp Image 2023-07-25 at 12.07.56

Azman ditemani dua peguamnya.

Dia juga memberitahu mahkamah anak lelakinya turut menerima wang tunai berjumlah RM200 daripada pendakwah berkenaan.

Azman didakwa memberi wang berkenaan bagi menampung kos rawatan susulan mangsa terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya pada Ogos tahun lalu.

Ibu mangsa bagaimanapun tidak mengetahui wang tersebut pemberian Azman meskipun transaksi dilakukan ke akaun bank miliknya.

“Anak saya kata dia tersalah pesan barang, jadi duit dipulangkan. Dia minta nombor akaun saya.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Saksi keempat dedah PU Azman raba dan melakukan seks oral terhadap anak lelakinya

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ibu remaja buat pendedahan PU Azman minta anaknya ambil minyak di bilik atas dan lumur pada kemaluan

“Saya tidak tahu wang tersebut daripada Azman sebab saya tidak tahu nama sebenarnya. Hanya tahu dia sebagai PU Azman,” katanya.

Wanita berkenaan memberitahu perkara itu ketika menjawab pertanyaan balas peguam Azman iaitu Fahmi Adilah tentang pengetahuannya mengenai anaknya pernah meminta wang dari pendakwah itu.

Sementara itu, perbicaraan itu semakin panas apabila saksi keenam kes yang mulanya tampil sebagai saksi mendedahkan dia juga pernah menjadi mangsa gangguan seksual pendakwah selebriti itu.

Remaja lelaki berusia 20 tahun itu ketika dalam kandang saksi mendakwa kejadian gangguan seksual itu berlaku di Klang, Selangor pada Jun tahun lalu.

WhatsApp Image 2023-07-25 at 12.07.56 (1)

Perbicaraan kes amang seksual melibatkan Azman bakal berlangsung sehingga Jumaat ini.

Saksi itu membuat pendedahan tersebut selepas menjawab pertanyaan mengenai hubungannya dengan mangsa kedua kes.

"Saya bertanya kepada dia (mangsa). Saya tanya sebab saya dah kena. Saya dah kena gangguan seksual dengan Cik Man (Azman)," katanya.

Mendengar keterangan tersebut, Timbalan Pendakwa Raya iaitu Nurul Balqis Zunaidi kembali bertanya sama ada saksi selesa untuk memberi keterangan dalam mahkamah (secara terbuka).

Saksi kemudiannya menjawab dia tiada masalah untuk memberikan keterangan dalam mahkamah.

Hakim yang menangguhkan kes berkenaan seketika kemudiannya mengarahkan Azman atau Azman Syah Alias, 43, untuk duduk di galeri awam selain penghadang tirai diletakkan dihadapannya sebelum perbicaraan diteruskan.

WhatsApp Image 2023-07-24 at 11.13.41

Setakat ini seramai enam orang saksi tampil memberikan keterangan.

Bagaimanapun hakim memerintahkan prosiding dilakukan secara tertutup tanpa kehadiran orang awam dan pihak media.

Pada 12 Oktober tahun lalu, PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai, di sini pada 6 Julai 2022.

Selain itu, PU Azman turut berdepan tujuh lagi pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain