PADA 22 Ogos lalu ibu penyanyi Shila Amzah ada mendedahkan kronologi kemelut rumah tangganya dengan penyanyi era 80-an iaitu Datuk ND Lala di Instagram miliknya. Menerusi pendedahan itu juga, Fauziah Sarman, 55, turut mendedahkan bekas madunya itu pernah membuat laporan polis mendakwa salah seorang anaknya mencuri kenderaan miliknya. Kata Fauziah, wanita berkenaan mendesak agar kenderaan itu dipulangkan kepadanya selain meminta anaknya itu membuat permohonan maaf secara bertulis dan lisan ketika kejadian itu. Bukan itu sahaja, Fauziah juga memaklumkan ND Lala turut merakam kejadian tersebut atas arahan isteri keduanya itu. Wanita yang didakwa isteri baharu ND Lala turut kelihatan dalam video tersebut. Susulan itu, Fauziah turut memuat naik video kejadian itu bagi menyokong kenyataan yang dibuat sebelum ini. Menerusi hantaran video di TikTok, dapat dilihat ND lala sedang memegang telefon dipercayai sedang merakam kejadian yang diceritakan Fauziah. Sementara wanita yang didakwa sebagai isteri baharunya itu sedang sibuk memeriksa barangan yang berada di dalam but kereta dipercayai bimbang sekiranya terdapat barangan miliknya hilang. ARTIKEL BERKAITAN: Bekas isteri dedah ND Lala hilangkan diri hampir setahun, nikah BFF anak sendiri sejak 2019 ARTIKEL BERKAITAN: Perkahwinan 34 tahun berakhir, isteri dedah ND Lala sudah lafaz cerai Dalam video itu juga, dapat dilihat ND Lala mengarahkan anak lelakinya membaca pengakuan maaf dan menyerahkan kereta tersebut sambil diperhatikan wanita itu yang berjubah hitam dan lengkap berniqab. "Inilah penyerahan kereta dan barang-barang serta dokumen bersama di dalamnya," kata anak lelakinya dalam video berkenaan. Bagaimanapun Fauziah tidak menulis sebarang kenyataan di ruang kapsyen video tersebut. Dalam pada itu, pendedahan video berkenaan menarik perhatian ramai yang berasa keliru dengan sikap ND Lala yang didakwa tergamak membelakangkan keluarga sendiri demi isteri baharunya. Perkahwinan 34 tahun ND Lala dan Fauziah berakhir dengan penceraian. Pengikut TikTok turut mendoakan agar Fauziah reda dengan ujian yang dihadapinya. Sementara itu, Fauziah sebelum ini turut berkongsi coretan panjang tentang perkahwinan kedua ND Lala yang didakwa sudah berlangsung sejak empat tahun lalu. Dalam hantaran tersebut, Fauziah mendedahkan dia mula menghidu perkahwinan bekas suaminya itu dengan kawan baik anak mereka sendiri pada 2019 namun cuba menyangkal khabar angin yang sampai ke telinganya ketika itu. Wanita tersebut turut memeriksa beberapa dokumen dalam video tersebut. Untuk rekod Fauziah dan ND Lala mendirikan rumah tangga pada 19 Oktober 1989. Selain Shila, 33, mereka juga dikurniakan tiga orang cahaya mata lain iaitu Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada, 25. Fauziah pada 9 Ogos lalu mendedahkan ND Lala sudah melafazkan cerai terhadapnya di Masjid Ar Rahman, Bangsar, Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu. Bagaimanapun penyanyi berkenaan hanya memaklumkan tentang perkara itu menerusi kiriman WhatsApp pada 8 Ogos lalu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!