PENDAKWAH selebriti Da'i Syed bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap dua netizen yang dikenali sebagai Nurul Atiqah dan Ainun Najwa atas tuduhan memfitnahnya di media sosial. Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Jamalullail berkata tindakan tersebut diambil selepas tular satu video disifatkan sebagai kenyataan berbaur fitnah yang dikongsi meneruai akaun TikTok @cempakasuri97 milik Nurul Atiqah. "Video tersebut mengandungi perkara-perkara yang tidak benar yang ditujukan terhadap saya. "Penyataan-penyataan di dalam video tersebut merujuk saya sebagai pelaku sama seperti di dalam kenyataan oleh polis yang terkandung bersama di dalam video tersebut. Video yang dipercayai dimuat naik oleh salah seorang netizen. "Saya juga dikatakan sebagai masih berhutang dengannya disebabkan kes tersebut. Dia juga mengaitkan peristiwa keguguran kandungan isteri saya sebagai kifarah yang saya terima disebabkan kes tersebut," katanya kepada pemberita. Syed menjawab mengenai perkara itu semasa sidang media yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada petang Isnin. Sebelum ini, pemilik akaun berkenaan memuat naik video berdurasi 21 saat memaparkan keratan akhbar kenyataan bekas Ketua Polis Daerah Shah Alam, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berhubung dakwaan merogol pada tahun 2020. Wanita itu berkata keguguran dialami oleh isteri Syed iaitu Hana Ismail adalah disebabkan balasan atas perbuatan yang dilakukan pendakwah itu. ARTIKEL BERKAITAN: Setahun tunggu reviu, wanita ini dedah perbualan dengan Da'i Syed... Akhirnya dapat balik wang miliknya ARTIKEL BERKAITAN: Da'i Syed korban motosikal RM20,000 buat peminat... Kongsi kisah bertemu Hana Ismail dalam '7 Hari Istikharahku' "Keturunanmu juga akan merasa kifarahnya. "Doaku tidak akan pernah putus setiap sepertiga malam agar kau sentiasa dalam kecelakaan sehingga kata maaf daripada mulutmu terucap," tulis individu berkenaan di ruangan kapsyen. Sementara itu, Syed memaklumkan tindakan undang-undang terhadap seorang lagi individu iaitu Ainun Najwa pula dibuat berhubung satu muat naik berbentuk fitnah di laman X atau lebih dikenali Twitter. Jelas Syed, dia telah membuat laporan polis terhadap Ainun Najwa pada tahun 2021, namun individu berkenaan masih berterusan membuat fitnah tidak benar. Dia sendiri mengakui bertanggungjawab terhadap fitnah tersebut. DA'I SYED PENDAKWAH SELEBRITI "Saya juga akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Ainun Najwa disebabkan fitnah yang telah diterbitkannya sebelum ini. "Laporan polis yang dibuat olehnya sebelum ini tidak dapat menidakkan tindakannya yang telah memfitnah saya malahan di dalam laporan yang sama, dia sendiri mengakui bertanggungjawab terhadap fitnah tersebut," ujarnya. Dalam sidang media berkenaan, Syed turut ditemani isterinya Hana Ismail dan peguam Syed Amirul Syed Edros. Syed dan Hana ditemani peguamnya Syed Amirul Edros. Pada April lalu, Syed meluahkan rasa syukur apabila Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor melepaskan dan membebaskannya daripada tuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang penganggur wanita. Sementara itu, peguam Syed Amirul Edros yang mewakili Syed berkata mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie sekali gus membebaskan anak guamnya daripada tuduhan jenayah seksual. Menerusi perkongsian di Twitter itu, Syed Amirol memberitahu seramai 18 orang saksi telah dipanggil memberikan keterangan sepanjang prosiding berkenaan berlangsung. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!