SELEPAS lama mendiamkan diri, penyanyi era 80-an Datuk ND Lala akhirnya tampil mengesahkan dia memang mendirikan rumah tangga dengan wanita dikenali sebagai Siti Munirah Abdul Ghani. ND Lala atau Amir Amzah Salleh, 62, juga mendakwa bekas isterinya iaitu Fauziah Sarman turut mendesak agar menceraikannya selepas tidak setuju untuk berpoligami. Susulan itu, ND Lala meminta agar semua cerita palsu dan dakwaan tidak benar dilemparkan terhadapnya dihentikan kerana kebenaran akhirnya akan terbongkar. "Berhentilah menipu, buat cerita palsu... Berapa lama kita nak menipu, akhirnya orang akan tahu dan kebenaran akan menang. ND Lala tampil perjelaskan segala kemelut melibatkan namanya. "Memang benar saya telah bernikah dengan Siti Munirah Abdul Ghani, memang benar bekas isteri saya tidak bersetuju untuk berpoligami. "Memang benar telah banyak kali bekas isteri saya mengugut, mendesak saya menceraikannya dan ini bukan satu keputusan mudah selepas 34 tahun kami bernikah dan Allah anugerahkan kami empat orang cahaya mata," katanya. ND Lala mendedahkan perkara itu menerusi video yang dimuat naik di Instagram miliknya pada petang Jumaat. Malah dalam video berkenaan, ND Lala turut mengaku dia memenuhi kemahuan bekas isterinya itu sehingga mereka sah bercerai pada 5 September lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Bekas madu buat laporan polis kereta dicuri, ibu Shila Amzah dedah video ND Lala arah anak baca pengakuan maaf ARTIKEL BERKAITAN: Lafaz cerai ND Lala terhadap isteri menerusi WhatsApp sah Bagaimanapun ND Lala tidak menjelaskan tarikh sebenar dia berkahwin dengan Siti Munirah. Dalam pada itu, ND Lala memohon agar semua pihak tidak menggelar isteri mudanya dengan gelaran penyondol kerana wanita itu tidak pernah menggangu rumah tangga atau menggodanya. Sebaliknya dia yang mendekati Siti Munirah meskipun pada awalnya wanita itu menolak sebelum dia bertemu dengan bapa isterinya itu bagi meminta izin untuk berkahwin. "Saya nak minta jangan gelar isteri saya sebagai penyondol... Ini tidak benar sebab dia tak pernah sondol atau mengurat saya. "Saya yang dekati dia walaupun awalnya dia tak mahu saya. Akhirnya saya minta restu pada ayah dia dan bila dia setuju kami bernikah," jelasnya. ND Lala dan Fauziah bercerai 5 September lalu. Pada 9 Ogos lalu, Fauziah memaklumkan sudah diceraikan suaminya yang melafazkan cerai itu di Masjid Ar Rahman, Bangsar, Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu dan memaklumkan tentang lafaz itu melalui aplikasi WhatsApp pada 8 Ogos 2023. Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 5 September lalu mengesahkan lafaz dibuat penyanyi itu terhadap Fauziah. Untuk rekod, ND Lala mendirikan rumah tangga dengan Fauziah pada tahun 1989 dan mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nurshahila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada,25. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!