suria

[V] PU Azman dibicara Mei tahun depan, kes amang seksual di Klang pindah ke Mahkamah Sesyen Ampang

PERTUDUHAN kes amang seksual melibatkan pendakwah bebas Pencetus Ummah Azman atau PU Azman di Mahkamah Sesyen Ampang dan Mahkamah Klang akan dibicarakan secara serentak pada Mei tahun hadapan.

Ia susulan Timbalan Pendakwaraya Nurhashimah Hashim satu pertuduhan sama yang dihadapi tertuduh di Mahkamah Klang telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ampang pada 4 September lalu.

Kes itu akan dibicarkan secara bersama selama lima hari iaitu pada 8, 9, 23, 29, 30 Mei dan Jun 2024.

Peguam Azman iaitu Muhammad Fairuz Iskandar Zainal Abidin memberitahu pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan berhubung pemindahan kes tersebut.

Fairuz bagaimanapun memberitahu mahkamah tidak membawa dokumen pengesahan pemindahan kes itu selepas diminta Hakim Norhazani Hamzah yang mendengar kes tersebut.

pu azman 1

Pertuduhan terhadap Azman di Mahkamah Sesyen Klang dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ampang.

Norhazani menetapkan 21 November 2023 untuk pihak tertuduh membuat serahan dokumen tersebut kepada mahkamah.

Pada 26 September lalu, Azman atau Azman Syah Alias, 42, dan peguamnya tidak hadir sewaktu sebutan kes tersebut di Mahkamah Sesyen Ampang.

Mahkamah dimaklumkan e-mel sudah dihantar dan panggilan telefon dibuat berulang kali bagi memaklumkan kes ini namun tidak menerima sebarang maklum balas daripada pihak tertuduh.

Untuk rekod, Azman menghadapi 12 pertuduhan seksual iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, empat kes di Mahkamah Majistret dan Sesyen Klang, satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang serta dua kes di Mahkamah Shah Alam.

ARTIKEL BERKAITAN: PU Azman dituduh kali ke-10, kali ini amang seksual remaja 17 tahun di resort Hulu Langat

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Perbicaraan kes amang seksual bermula, PU Azman sempat komen badan kurus - "Saya diet"

Pada 7 Disember tahun lalu PU Azman atau lebih dikenali sebagai Cik Man mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang, atas tiga pertuduhan amang seksual.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa dua kes amang seksual fizikal di sebuah inap desa di Sungai Udang, Klang masing-masing pukul 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun tahun lalu.

Azman didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun selain dikenakan hukuman sebat, sekiranya disabitkan kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan ketiga, Azman didakwa menggalakkan komunikasi secara seksual melalui aplikasi WhatsApp mengikut Seksyen 11 (1)(b) akta kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Perbuatan itu antara pukul 4 petang hingga 7.30 malam di sebuah rumah di Kampung Meru, Klang pada 16 Ogos lalu melibatkan dua mangsa remaja lelaki berusia 17 tahun.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh di mahkamah sama, Azman didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki lain berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek, Klang kira-kira pukul 9.15 malam pada 10 Jun tahun lalu.

pu azman 2

Azman turut berdepan beberapa pertuduhan sama di mahkamah berbeza.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 377d Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun sekiranya disabitkan kesalahan.

Kemudian pada 21 Disember tahun sama, Azman Syah didakwa pula di Mahkamah Sesyen Ampang atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada 22 Julai tahun lalu dalam sebuah bilik di sebuah resort di Hulu Langat.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pada 22 Disember pula, tertuduh turut didakwa atas dua lagi pertuduhan kesalahan sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Selain kes amang seksual di Mahkamah Klang, Shah Alam dan Ampang, tertuduh sedang menjalani perbicaraan kesnya di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan bagi lima pertuduhan sama.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain