IBU kepada Shila Amzah meluahkan rasa kecewa terhadap sikap penyanyi itu yang didakwa melemparkan kata-kata kesat kepadanya sebelum ini. Fauziah Sarman, 56, berkata, dia sendiri tidak tergamak untuk menulis kata-kata yang keluar daripada mulut anak sulungnya itu hanya disebabkan rumah pusaka yang ingin dijualnya. "Disebabkan rumah pusaka ini juga tergamak Shila mengeluarkan kata-kata kesat pada mak, tak tergamak mak nak tulis kata-kata itu. "Allahuakhbar. Ya benar memang Shila tak halau mak tapi kata-kata Shila mak faham," katanya. Dia berkongsi perkara itu menerusi perkongsian Instagram miliknya pada awal pagi Jumaat yang turut memaparkan fotonya bersama Shila. Luahan Fauziah yang sudah dipadam di Instagram. Bagaimanapun Fauziah sudah memadam hantaran berkenaan beberapa minit selepas ia dimuat naik. Jelas Fauziah, dia tampil membuat kenyataan tersebut kerana ingin membersihkan namanya yang sudah tercalar. Tidak hanya itu, dia juga kecewa dengan sikap Shila yang membiarkan orang lain menghinanya di dalam sebuah video siaran langsung baru-baru ini. Kata Fauziah, buat masa ini dia belum mampu memaafkan kesilapan anaknya itu malah meminta Shila berhenti menipu. ARTIKEL BERKAITAN: Netizen serang IG Fauziah Sarman, minta kenang jasa Shila Amzah sara keluarga ARTIKEL BERKAITAN: Shila Amzah bersalah dengan suami, tak fasal-fasal kena hadap konflik adik-beradik... Ubai pula dedah isteri tanggung hutang keluarga "Hati emak memang sudah dikisar halus. Emak bersuara demi maruah mak. Banyak rahsia mak simpan, sorok selama ini demi namamu sebagai bintang popular. "Terima kasih Nurshahila kerana beri ruang untuk orang hina dan keji mak sendiri dalam video live. Allah tahu apa kebenarannya. Buat masa ini emak belum dapat maafkan dan mak tak reda dengan apa Shila buat. Berhenti menipu! "Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku. Hanya Engkau yang Maha tahu. Ku serahkan segalanya kepadaMu kerana sesungguhnya aku milikMu. "Nurshahila, kau tanggunglah dosa... Pada Allah mak serahkan dirimu dan semoga Allah SWT mengadili segalanya serta memberimu petunjuk," ujarnya. Menerusi perkongsian itu juga, Fauziah mendedahkan Shila pernah berjanji untuk menjaga dan membiarkan dia terus tinggal di rumah yang dianggap harta pusaka keluarga. Fauziah belum mampu memaafkan Shila. Fauziah kata dia menyedari hak Shila sebagai pemilik utama rumah tersebut malah tidak membantah sekiranya ia dijual. "Dengan segala konflik keluarga kita hadapi, mak tak pernah bantah andainya 'rumah keluarga' yang dilabel sendiri oleh Nurshahila sebagai rumah pusaka untuk dijual sebab mak sedar diri rumah itu atas nama anak emak yang popular. "Tak perlu mengingatkan mak berkali-kali tentang itu sebab terserah Nurshahila buat apa sahaja kerana rumah ini atas nama Nurshahila. "Walaupun tahun lepas ketika abah lari, Nurshahila pernah cakap mujur rumah ini atas nama Shila, biarlah kekal jadi rumah pusaka mak tinggalkan sampai bila-bila. "Jangan kisah abah tak ada, orang (Shila) boleh sara mak. Ini janji Shila pada mak. Disebabkan rumah pusaka ini juga tergamak Shila mengeluarkan kata-kata kesat pada mak," luahnya. Kisah keluarga ini terus menjadi perhatian. Pada Isnin lalu, adik bongsu Shila iaitu Syada Amzah mendakwa dia bakal dihalau keluar daripada banglo terletak di Langat itu selepas mendakwa ia bakal dijual. Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 33, menafikan dakwaan dia menghalau adik-beradiknya daripada banglo tersebut. Jelas Shila, tujuan dia mahu menjual banglo berkenaan kerana ingin mencari rumah baharu yang lebih selesa untuk ibu mereka. Isu ini terus berlarutan apabila adik lelakinya, Amir Syafiq mendedahkan Shila tidak membuat sebarang perbincangan sebelum berhasrat menjual rumah tersebut. Dia juga mendakwa Shila berniat menjual rumah tersebut kerana memiliki nilai tinggi dalam pasaran. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!