PELAKON dan penyanyi Daiyan Trisha sudah memaklumkan kepada semua klien termasuk jenama antarabangsa yang diwakilinya tentang pendirian terhadap sokongan terhadap Palestin. Daiyan atau Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 30, berkata, sebelum menyatakan pendiriannya dia dan pasukannya sudah berbincang terlebih dahulu memandangkan dia terikat dengan beberapa kontrak jenama antarabangsa. Menurut Daiyan, selepas menyuarakan pendirian dan sokongan terhadap Palestin dia belum menerima sebarang panggilan berhubung isu berkenaan. Daiyan terbuka menunjukkan tanda sokongan terhadap Palestin di Instagram miliknya. "Buat masa ini saya belum menerima apa-apa panggilan daripada jenama antarabangsa berkenaan isu Palestin. "Cuma pasukan saya sudah memaklumkan terlebih dahulu kepada klien kami yang mana saya tetap dengan pendirian untuk menyokong Palestin," katanya ketika dihubungi mStar pada Selasa. Dalam pada itu, Daiyan memberitahu dia sedar akan risiko yang terpaksa dihadapi termasuk sebilangan kontrak yang akan ditarik semula. Pun begitu, pelakon filem Sumpahan Jerunei ini enggan menjadikan ia sebagai satu alasan untuk dirinya tidak bersuara demi menunjukkan sokongan terhadap Palestin. ARTIKEL BERKAITAN: Peminat 'makan hati' tengok Daiyan Trisha bergambar dengan bintang Gossip Girl... "Agak-agak lepas ni jumpa siapa?" ARTIKEL BERKAITAN: Sharnaaz Ahmad mahu 'duku' kepala The Rock, kenyataan tentang konflik Palestin-Israel membuta tuli "Ya saya sedar... mungkin sebilangan kontrak akan ditarik balik dan saya mungkin tidak akan dijemput ke acara antarabangsa sebanyak mana saya dijemput sebelum ini. "Tapi jika rezeki saya untuk terus melebarkan sayap ke peringkat global, saya mahu tegas dengan pendirian ini (menyokong Palestin)," ujarnya. Mungkin sebilangan kontrak akan ditarik balik dan saya mungkin tidak akan dijemput ke acara antarabangsa. DAIYAN TRISHA PELAKON/PENYANYI Mengulas lanjut tentang sikap segelintir selebriti dan pempengaruh media sosial yang takut untuk bersuara, pelakon itu menyifatkan setiap individu mempunyai cara sokongan tersendiri. Kata Daiyan, sebagai seorang umat Islam, dia hanya mahu lakukan yang terbaik dan enggan menghakimi tindakan individu lain berkenaan isu ini. "Mereka ada cara mereka sendiri... mungkin ada yang tidak bersuara tetapi mereka bersedekah. "Saya rasa sebaiknya kita fokus kepada apa yang kita boleh buat... daripada tengok apa yang orang lain tidak buat. Semuanya Allah yang tahu... kita hanya lakukan yang terbaik sebagai seorang muslim," katanya. Pada Isnin, Daiyan memuat naik sebuah hantaran di Instagram miliknya berkongsi isu kesengsaraan yang dihadapi rakyat Palestin di Gaza. Menerusi perkongsian itu, aktres berkenaan memberitahu sudah tiba masanya dia berdiri teguh atas prinsip memberikan sokongan terhadap Palestin dan tidak lagi boleh berdiam diri. Daiyan sebelum ini sering dijemput menghadiri acara di luar negara. Pada 7 Oktober lalu, sayap tentera Hamas, Briged Al Qassam melancarkan serangan besar-besaran susulan pencerobohan ke atas Palestin oleh pihak Israel. Kira-kira 5,000 peluru berpandu dilancarkan, selain pejuang Hamas berjaya melolosi sempadan yang berkubu kuat di beberapa lokasi melalui udara, darat dan laut. Susulan itu, tentera Israel melancarkan 'Operasi Pedang Besi' terhadap pejuang Hamas sebagai tindak balas. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!