suria

“Bayar RM100 pun saya tetap menang!” - A. Aida terima keputusan mahkamah, tiada masalah jumpa dan peluk Amelia Henderson

A. Aida (kanan) turut luah rasa kecewa dengan keputusan mahkamah.

PENEBIT Datuk A. Ada menerima dengan hati terbuka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan bayaran ganti rugi sebanyak RM200,000 yang diperintahkan terhadap pelakon Amelia Henderson kepada syarikat produksinya sebelum ini.

A. Aida atau Zaidah Awang, 53, berkata, dia tetap menganggap menang dalam kes saman terhadap Amelia yang telah berlarutan sejak tahun lalu.

"Kita kena hormat keputusan mahkamah dan saya reda... Bagaimanapun dia tetap kena bayar denda. Jadi di situ terbukti dia bersalah kerana melanggar kontrak.

amelia 2

Amelia diperintah bayar nomimal RM10,000 kepada A. Aida.

"Walaupun bukan jumlah yang disebut sebelum ini namun saya tetap rasa menang. Kalau dia kena bayar RM100 pun saya menang dalam kes ini," katanya ketika dihubungi mStar pada Jumaat.

Pada pagi Jumaat, Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong membenarkan rayuan Amelia berhubung keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 18 April lalu yang memerintahkan aktres itu membayar ganti rugi RM200,000 kepada A. Aida Productions.

Ia susulan Amelia melanggar kontrak penglibatannya menerusi drama terbitan A. Aida iaitu Sekali Lagi Cinta Kembali.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Tinggi ketepi ganti rugi RM200,000... Amelia perlu bayar RM10,000 berserta faedah kepada A. Aida

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Amelia Henderson enggan minta maaf seperti dituntut A. Aida

Mahkamah memerintahkan Amelia hanya perlu membayar ganti rugi nominal RM10,000 dalam tempoh 14 hari dan faedah lima peratus kepada A. Aida Productions bermula selepas keputusan ditetapkan (Jumaat).

Selain rayuan mengetepikan ganti rugi itu, Amelia atau Amelia Thripura Henderson, 28, turut memohon menangguhkan permohonan maaf yang perlu dibuat kepada A. Aida.

Sementara itu, A. Aida menjelaskan tindakan dia memfailkan saman sebelum ini bertujuan memberi pengajaran kepada semua pelakon supaya tidak menyukarkan urusan penggambaran.

Selama ini saya berjuang sebab nak beri pengajaran kepada pelakon supaya tidak lagi langgar kontrak

DATUK A. AIDA

PENERBIT

"Ada juga rasa kecewa apabila keputusan mahkamah tidak mengenakan bayaran seperti sebelum ini.

"Selama ini saya berjuang sebab nak beri pengajaran kepada pelakon supaya tidak lagi langgar kontrak. Dia tarik diri sehari sebelum penggambaran dan itu menyusahkan produksi.

"Ramai pelakon yang tarik diri tapi bukanlah di saat-saat akhir... Disebabkan itu saya tidak boleh terima," ujarnya.

amelia 1

A. Aida tidak mahu menyimpan dendam terhadap Amelia.

Dalam masa sama A. Aida juga tetap profesional dan tiada masalah untuk bertemu Amelia dalam mana-mana majlis di masa akan datang.

"Dia tetap my sweet sister. Saya suka Amelia dan sebab itu saya panggil dia berlakon. Masalah peribadi dan kerja tidak boleh disatukan.

"Kalau jumpa dia selepas ini saya tiada masalah untuk peluk cium Amelia. Kita kena profesional dan saya tidak berniat pun nak bergaduh dengan dia," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain