suria

[V] Lakon adegan ranjang bersama Afieq Shazwan, Fasha Sandha sedia diserang warganet

Fasha akan memberikan komitmen sebaiknya untuk menjayakan watak yang diberi.

MENGENALI Fasha Sandha, dia memang cukup terkenal dengan disiplin serta etika kerja dalam lakonan sehingga tidak kisah sekiranya dikecam penonton.

Terbaharu, Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan, 40, sudah bersedia dengan kata-kata nista warganet susulan melakonkan adegan ranjang bersama pelakon Afieq Shazwan dalam drama terbaharunya Rampas Cintaku 2.

Jelas Fasha, apa dilakukan hanya menjayakan watak, skrip serta arahan pengarah dan ia tidak lebih daripada itu.

"Terpulang kepada mereka, saya hanya mencorakkan skrip itu. Kita hanya buat kerja kita. Saya percaya kita buat sesuatu sebab diri sendiri dan bukannya orang lain.

Fasha 2

Fasha ketika ditemui media pada majlis pelancaran drama Rampas Cintaku 2.

"Kalau buat kerana orang lain, kita tidak akan kekal. Jadilah diri sendiri. Ini adalah kerjaya saya sejak usia 18 tahun.

"Saya seronok dan hanya mampu berharap penonton pandang dari sisi lain. Kalau nak pandang sisi 'daring' Fasha Sandha, terpulang," katanya kepada mStar.

Fasha berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada sidang media Rampas Cintaku 2 yang diadakan di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sedutan musim kedua drama berkenaan mendapat perhatian peminat yang kurang senang dengan babak tersebut kerana ia tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia selain status Fasha sebagai isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata.

ARTIKEL BERKAITAN:“Kalau manual takut perempuan lagi”... Aidil, Fasha Sandha rancang buat IVF timang anak lelaki

ARTIKEL BERKAITAN: Kecaman seksi tak beri kesan, Fasha Sandha tetap lakukan apa disukai

Dalam pada itu, Fasha berkata, kecaman tidak pernah mematahkan semangatnya sebagai seorang pelakon dalam menjayakan lebih banyak watak pada masa depan.

Jelasnya, dia juga tidak akan berhenti daripada berlakon memandangkan itu merupakan kerjaya dicintainya.

Dalam masa sama, Fasha percaya setiap naskah dihasilkan mempunyai mesej dan pengajaran yang dapat dijadikan tauladan kepada penonton.

Fasha 1

Antara adegan menerusi drama berkenaan yang menjadi bualan peminat.

"Ambil pengajaran daripada jalan cerita Rampas Cintaku 2. Kita jangan pandang satu sisi sahaja, pandang sisi lain juga.

"Kalau tak boleh terima, terpulang kepada mereka sebab penonton ada hak untuk menilai apa yang saya cuba sampaikan," jelasnya.

Selain Fasha dan Afieq, Rampas Cintaku 2 turut dibintangi oleh Erra Fazira, Keith Foo, Puteri Balqais, Zarul Umbrella dan Ady Mohammad.

Rampas Cintaku 2 bakal bersiaran menerusi platform Iqiyi bermula 19 Januari ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain