suria

Adira tak mahu tuntut nafkah idah dan mutaah, enggan bebankan Datuk Red

Adira tidak menuntut apa-apa perkara daripada Datuk Red.

PENYANYI Adira Suhaimi tidak akan menuntut sebarang nafkah daripada bekas suaminya iaitu Datuk Adnan Abu selepas mereka sah bercerai pada pagi Rabu.

Adira atau Siti Adira Suhaimi, 32, berkata, ia termasuk nafkah sepanjang tempoh idah dan mutaah terhadap Adnan.

Kata penyanyi itu, dia enggan menuntut nafkah berkenaan kerana tidak mahu lagi menyusahkan Adnan apatah lagi ketika ini usahawan tersebut dalam kesusahan.

"Apa yang pasti saya tidak mahu apa-apa sebab saya tak mahu susahkan lagi bekas suami.

Adira tidak tuntut apa-apa daripada penceraiannya dengan Datuk Red.

"Semua pun tahu dia pun tengah down. Kita doakan yang terbaik untuk dia.

"Saya percaya kalau rezeki dia murah, ada bahagian untuk anak-anak kami nanti," katanya kepada mStar.

Adira berkongsi perkara itu selepas prosiding penceraiannya dengan Adnan atau mesra disapa Datuk Red, 46, berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang pada Rabu.

Adnan melafazkan cerai terhadap Adira kira-kira pukul 9.40 pagi di hadapan Hakim Syarie Abdul Hadi Omar.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi ruang berbaik, Adira tetap mahu bercerai

ARTIKEL BERKAITAN: Tertunduk sayu ketika lafaz talak, Datuk Red dan Adira sah bercerai

Mengulas penceraiannya, Adira memberitahu dia lega apabila Adnan akhirnya berlembut hati melepaskannya secara baik.

Adira turut menyifatkan doanya agar urusan penceraiannya dipermudah sepanjang berada di Tanah Suci Makkah baru-baru ini termakbul.

"Alhamdulillah semuanya selesai. Saya sangat bersyukur sebab semuanya sudah selesai. Saya banyak berdoa agar Allah lembutkan hati bekas suami.

"Memang banyak saya berdoa ketika di Tanah Suci dan Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan," ujarnya.

Enggan bermusuhan dengan Adnan, Adira sebaliknya berjanji akan meneruskan hubungan baik dengan bekas suami demi kepentingan empat anak mereka.

Memang banyak saya berdoa ketika di Tanah Suci dan Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan,

ADIRA

PENYANYI

"Tak semestinya bercerai kena bergaduh. Tak perlu buka aib pasangan masing-masing. Macam mana pun anak-anak tetap kami akan besarkan bersama.

"Kami ambil langkah tidak bergaduh supaya senang untuk berhubung selepas ini," jelasnya.

Sementara itu, Adira tidak akan menghalang Adnan berjumpa dengan anak-anak walaupun ketika ini mereka di bawah jagaannya.

Bagaimanapun, dia masih belum memberitahu tentang penceraian kepada empat anak mereka.

"Soal anak-anak, saya tiada halangan kalau dia nak datang jenguk ikut persetujuan kami sendiri.

size NP 1 (14)

Adira bersama peguam yang mengendalikan kes cerainya.

"Buat masa ini saya belum beritahu anak-anak tapi mereka pasti akan tahu sebab mereka pun sudah pandai membaca," katanya.

Rumah tangga pasangan ini menjadi perhatian ramai apabila Adira memfailkan cerai terhadap Adnan pada 25 Oktober tahun lalu di mahkamah sama.

Bagaimanapun ini bukan kali pertama Adira memfailkan cerai terhadap Adnan apabila pernah berbuat perkara sama pada April 2019 namun menarik balik permohonan tersebut bagi memberi peluang kedua kepada usahawan tersebut.

Untuk rekod, Adira dan Adnan berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 2.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain