SUSULAN namanya dikaitkan dalam perbualan dipercayai di antara Aliff bersama individu yang dinamakan sebagai ‘NRF’ menerusi aplikasi WhatsApp, pelakon Emma Maembong mengaku silap cuba masuk campur dalam urusan rumah tangga aktor berkenaan. Emma atau Fatimah Rohani Ismail, 32, menjelaskan dia tidak sepatutnya berbuat demikian tetapi disebabkan wujud perasaan ingin tahu membuatkan dia bertanya kepada pelakon Ruhainies mengenai beberapa perkara tentang Bella. "Ya saya mengaku memang salah saya kerana tanya Ruhainies tentang apa yang berlaku. Saya hanya bertanya bukannya mengutuk atau menambah cerita. "Silap saya kerana saya bertanya tetapi saya tidak bermaksud untuk menyebelahi mana-mana pihak. "Saya muat naik video ini kerana tidak mahu ada salah faham, bukan saya menyebelahi sesiapa kerana yang salah tetap salah," katanya. Emma memohon maaf kepada Bella atas salah faham yang berlaku. Emma berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya pada malam Rabu. Dalam pada itu, Emma menjelaskan dia hanya mahu mengetahui cerita sebenar kerana mendengar khabar angin berkenaan Bella dan rumah tangganya yang tersebar di set penggambaran drama. "Sepanjang saya shooting memang kes Bella ini viral di set penggambaran kami, orang belakang tabir semuanya turut bercakap. "Saya juga ada mendengar banyak khabar angin tentang perkara yang berlaku. Masa saya dengar cerita itu pun saya kasihan melihat apa yang Bella lalui. "Tapi saya dengar bila orang bersembang mengatakan sikap Bella yang berlainan dan saya tertanya-tanya," ujar Emma. ARTIKEL BERKAITAN: Bella Astillah disamakan seperti haiwan, perbualan Aliff Aziz burukkan isteri terbongkar ARTIKEL BERKAITAN: Wanita tampil diri mengaku kekasih baharu Aliff Aziz, tunjuk bukti video cium pipi... Cerita hubungan teman lelaki dan Pelakon drama Takdir Itu Milik Aku ini bagaimanapun memberitahu timbul salah faham apabila dia terkait dengan masalah yang berlaku antara Bella dan Ruhainies. Kata Emma, hubungan mereka hanyalah sekadar rakan artis namun dia lebih rapat dengan Ruhainies dan bertindak untuk bertanyakan kepada aktres tersebut. "Timbulnya salah faham memang saya ada berborak dengan Ruhanies. Apa yang saya dengar tentang Bella sebelum benda ini viral lagi, takkan saya nak tanya dengan Bella. "Kalau ikutkan Bella dan Ruhainies, saya lebih selalu duduk semeja dan bersembang dengan Anies (panggilan Ruhainies). "Bila orang bercerita tentang Bella, perkara itu adalah khabar angin yang disampaikan di set penggambaran dan bukannya saya yang memfitnah. Perbualan NRF dan Aliff yang mengaitkan nama Emma serta adiknya. "Saya rasa tak manis kalau saya terus tanya kepada Bella jadi saya bertanya kepada Ruhainies. Cuma itu salah saya kerana saya bertanya kepada pihak ketiga," jelasnya. Emma bagaimanapun mengakui silap kerana sepatutnya dia tidak perlu masuk campur hal rumah tangga orang lain. Aktres berkenaan turut memohon maaf kepada Bella atas salah faham yang berlaku dan menegaskan dia tiada niat untuk mencampuri urusannya. "Itulah satu kesilapan saya apabila saya menyibuk dan bertanya. Sekali itu sahaja saya bertanya dan kesilapan itu menjadi salah faham. "Saya mengaku salah sepatutnya saya tidak masuk campur. Saya minta maaf sangat dekat Bella kerana saya tidak sepatutnya masuk campur. "Saya minta maaf, tiada niat nak mengutuk. Saya minta maaf atas salah faham ini," katanya. Pada malam Rabu, individu yang mendakwa kekasih gelap Aliff Aziz iaitu Sarah Yasmine mendedahkan beberapa perbualan dipercayai di antara Aliff dengan NRF. Kemelut rumah tangga Aliff dan Bella terus menjadi perhatian ramai. Dalam perkongsian itu juga, terdapat perbualan yang membabitkan nama Emma dan Chacha dipercayai adik kepada pelakon tersebut. NRF mendakwa Emma dan Chacha mengatakan kenyataan Bella sebelum ini terlalu bersungguh untuk membuatkan netizen percaya dengan apa yang dikatakannya. Pada 9 Mac lalu, dunia hiburan kecoh apabila Aliff dan pelakon Ruhainies ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) di sebuah kondominium di Kuala Lumpur. Bella pada 13 Mac lalu memfailkan cerai terhadap Aliff secara ekspres namun pada sebutan kedua permohonan itu pada 4 April lalu, pelakon kelahiran Singapura itu enggan menceraikannya. Aliff memberi alasan dia masih sayangkan Bella dan mahu menyelamatkan rumah tangga mereka. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube TONTON VIDEO PILIHAN!