INDIVIDU yang mempunyai hubungan istimewa kepada pelakon Aliff Aziz iaitu Sarah Yasmine memberitahu dia menerima notis daripada mahkamah di Singapura untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan membabitkan aktor itu. Sarah ketika dihubungi mStar berkata dia menerima notis itu daripada Aliff yang menyatakan larangan daripada membuat sebarang pendedahan di media sosial. Ini termasuklah dia tidak dibenarkan memberi komen mengenai temu bual terbaharu aktor berkenaan yang dimuat naik di saluran YouTube The Common Folks pada pagi Jumaat. "Saya tiada komen mengenai kenyataan Aliff menerusi temu bual terbaharu di sebuah podcast, sebab saya dah terima notis perintah untuk saya tidak menyebut mengenai dirinya. Sarah tetap akan lawan Aliff di mahkamah nanti. "Notis ni saya dapat pada 29 April lalu selepas saya sekat dia. Saya pun sudah tidak mahu ambil kisah tentang dia," katanya. Meskipun akur dengan perintah berkenaan, Sarah berkata dia juga sudah menghubungi peguamnya untuk tindakan lanjut. Malah, dia percaya dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan dan yakin berada di pihak benar. "Saya dihalang buat apa-apa kenyataan sehingga kes ini selesai, tapi saya ada peguam sendiri dan saya akan lawan dia di mahkamah nanti," jelasnya. ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi permainan untuk lengahkan proses cerai, Aliff Aziz sudah sedia lepaskan Bella Astillah ARTIKEL BERKAITAN: “Terima kasih, good bye!”... Aliff Aziz mengaku silap jumpa Sarah Yasmine, harap kekasih gelap ‘enjoy 5 minute of fame’ Mengakhiri perbualannya, Sarah turut mengucapkan selamat tinggal kepada Aliff dan memberitahu fokusnya kini mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang pernah memburukkan dirinya. "Sebelum podcast dia tu disiarkan, saya dah cakap 'good bye' dulu... Saya rasa sebab itu dia buat podcast itu. "Apa yang saya boleh kata buat masa sekarang biarlah Allah yang tunjuk kebenarannya. "Kenapa saya diam sebab saya nak ambil tindakan undang-undang untuk orang tertentu, dan jika ada rezeki saya nak fokus pada kerja dahulu," ujarnya. Pada 13 Mac lalu, isteri Aliff iaitu Bella Astillah memfailkan cerai secara ekspres terhadap selebriti asal Singapura itu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan. Saya pun sudah tidak mahu ambil kisah tentang dia, SARAH YASMINE Ia susulan Aliff dan pelakon Ruhainies dicekup berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara pada 9 Mac lalu. Aliff bagaimanapun enggan menceraikan Bella pada sebutan kedua kes tersebut pada 4 April lalu kerana masih sayangkan isterinya dan mahu mempertahankan rumah tangga mereka. Isu tersebut bertambah rumit apabila timbul dakwaan Bella juga bersikap curang apabila menjalinkan hubungan dengan aktor baharu, Muaz Zabir selepas tersebar foto mesra mereka berdua. Tidak menyangkal dakwaan tersebut, Bella bagaimanapun menjelaskan hubungannya dengan Muaz sekadar mahu membuatkan Aliff cemburu dan perkara itu juga sudah selesai di antara keluarga kedua-dua belah pihak. Isu itu bertambah panas apabila muncul seorang wanita, Sarah Yasmine mendakwa dia adalah kekasih Aliff seiak Januari lalu. Cerita tentang Aliff menjadi bualan hangat netizen. Sarah turut mendedahkan pelbagai tangkap layar perbualan WhatsApp dipercayai di antara Aliff dan individu dinamakan sebagai 'NRF'. Pendedahan itu membuatkan ramai bengang selain isu ini turut mengaitkan beberapa selebriti lain seperti Emma Maembong, Chacha Maembong, Caprice, Sophia Albarakbah dan Meerqeen. Terbaharu pada awal pagi Jumaat, Aliff tampil mempertahankan diri menerusi podcast The Common Folks dan berharap segalanya dapat berakhir dengan perkara yang baik-baik. Untuk rekod, Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna yang bersuai 3 tahun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube TONTON VIDEO PILIHAN!