suria

Alif Teega dan Aisyah Hijanah mengaku tak bersalah, kali ini berdepan 10 pertuduhan salah guna dana awam

Alif dan Aisyah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan penyalahgunaan dana awam.

PERSONALITI media sosial, Alif Teega dan isterinya iaitu Aisyah Hijanah mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan salah guna dana awam.

Pasangan itu membuat pengakuan tersebut dihadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, Selangor pada Isnin.

"Saya mohon dibicarakan," kata Alif dan Aisyah di hadapan hakim.

NP-216

Aisyah kekal tenang di perkarangan mahkamah.

Penyalahgunaan dana awam itu didapati berlaku bermula Mei 2021 sehingga Julai lalu dengan anggaran lebih RM1.5 juta.

Antara pertuduhan salah guna dana awam adalah bertujuan infaq kurma, infaq al-Quran, infaq pek makanan bagi fakir miskin, bantuan mangsa banjir selain sedekah pakaian raya untuk anak yatim.

Jika sabit kesalahan, bagi setiap pertuduhan, dia boleh dihukum bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebatan serta denda.

Susulan itu, pihak pendakwaan dan tertuduh bersetuju untuk membayar ikat jamin sebanyak RM25,000 dengan syarat.

ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh seleweng dana awam program infaq dan daging korban, Alif Teega mengaku tak bersalah

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Aisyah Hijanah janji beri kerjasama penuh, kunci mulut isu fail cerai terhadap Alif Teega

Antara syaratnya adalah setiap tertuduh dengan syarat pasport diserahkan, selain lapor diri di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada setiap bulan sehingga selesai dan tidak boleh berhubung dengan mana-mana saksi.

Kes tersebut akan dibicarakan pada tarikh baharu iaitu 27 November depan.

Sebelum ini, SPRM melaporkan Alif atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, dan Aisyah Hijanah Azhari, 26, bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas kesalahan salah guna dana awam pada Isnin.

NP-218

Alif sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan penyalahgunaan dana awam.

Untuk rekod, Alif pada Jumaat lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menyalahguna dana awam lebih RM63,000 menerusi dua program infaq, April dan Jun lalu.

Bagaimanapun, Alif tidak mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Julai lalu, Alif, Aisyah dan dua lagi lelaki direman empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain