PERSONALITI media sosial Aisyah Hijanah akan memberi kerjasama penuh susulan suaminya Alif Teega didakwa atas dua pertuduhan menyalahgunakan dana awam lebih RM63,000 menerusi dua program infaq pada April dan Jun lalu. Aisyah atau Aisyah Hijanah Zahari, 26, berkata, mereka akan cuba menyelesaikan perkara itu dengan cara terbaik. "Insya-Allah kita akan selesaikan dengan cara baik dan beri kerjasama penuh sehingga ke akhirnya," katanya kepada mStar. Alif dan Aisyah tenang ketika hadir di mahkamah. Aisyah berkongsi perkara itu ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding mahkamah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pagi Jumaat. Pada prosiding berkenaan, Alif mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyalahgunakan dana awam dan minta dibicarakan. Mahkamah menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin. ARTIKEL BERKAITAN: Reman 6 hari pengajaran hidup, Alif Teega dan Aisyah Hijanah puji layanan SPRM - “Sakit sikit pun dibawa ke klinik” ARTIKEL BERKAITAN: Reman Alif Teega dan Aisyah Hijanah disambung 3 hari lagi Sementara itu, Aisyah memilih mengunci mulut berhubung tindakannya memfailkan cerai terhadap Alif di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor pada Ogos lalu. Malah personaliti media sosial itu juga enggan mengulas tentang pelbagai kontroversi membabitkan mereka berdua sejak kebelakangan ini. "Tiada komen," komennya ringkas. Alif dan Aisyah sewaktu direman pihak SPRM. Pada 1 September lalu, Aisyah ketika bercakap kepada mStar mendedahkan sudah memfailkan cerai terhadap Alif namun enggan berkongsi lanjut punca dia berbuat demikian. Untuk rekod, Aisyah dan Alif mendirikan rumah tangga pada 25 November 2017 dan pasangan ini memiliki tiga orang cahaya mata. Kontroversi perkahwinan mereka tercetus apabila Alif melangsungkan pernikahan dengan isteri keduanya iaitu Fatin Umaidah di Thailand ketika Aisyah sedang sarat hamil anak ketiga pada November tahun lalu.