PERSONALITI media sosial Alif Teega mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyalahgunakan dana awam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pagi Jumaat. Alif atau Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi. Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM36,047.35 bagi tujuan Infaq Iftar di Makkah, Syria dan Palestin. Alif hadir bersama Aisyah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat. Manakala pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM27,558.13 bagi tujuan Jom! Sertai Infaq Daging Qurban. Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank, KL Gateway, Jalan Kerinchi pada 26 April dan 15 Jun lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Alif Teega dan Aisyah Hijanah direman 4 hari, bantu siasatan SPRM dakwaan salah guna kuasa ARTIKEL BERKAITAN: Alif Teega tenang di mahkamah, mohon orang ramai doakan dia dan isteri Mahkamah menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin. Alif dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan sebanyak RM10,000 namun ia ditolak mahkamah. Usahawan itu juga diminta menyerahkan pasport antarabangsa miliknya kepada mahkamah selain perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali sehingga kes selesai. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh, manakala tertuduh diwakili Abdul Rahim Ali. Pasangan ini pernah direman atas dakwaan menyeleweng dana awam. Pada 10 Julai lalu, SPRM menahan Alif dan isterinya yang juga pempengaruh Aisyah Hijanah Azhari, 26, dipercayai bagi membantu siasatan atas dakwaan menyeleweng dana derma awam. Sejurus direman, pasangan itu kemudian membuat permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar penahan reman itu yang dibuat mengikut Seksyen 23 SPRM berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan. Bagaimanapun Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan tersebut apabila mendapati Mahkamah Majistret Putrajaya mematuhi peruntukkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah. Pasangan itu sebelum ini pernah tampil menafikan dakwaan berkenaan dan mahu mengheret pemfitnah ke mahkamah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!