SELEPAS setahun kembali rujuk sebagai suami isteri, peguam pelakon Diana Danielle iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader mengesahkan anak guamnya mahu menuntut cerai buat kali kedua. Menurut Akberdin, sejak bulan lalu lagi Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 33, sudah memintanya bersedia dengan sebarang kemungkinan berhubung rumah tangganya. "Sebenarnya sudah ada arahan untuk bersedia sejak sebulan lalu daripada Diana. Diana dan Farid difahamkan sudah tidak sehaluan sebagai suami isteri. "Mereka difahamkan memang sudah tidak boleh hidup bersama. "Jadi semalam dia hubungi saya dan minta saya siapkan dokumen diperlukan untuk dibawa ke mahkamah (syariah)," katanya ketika dihubungi mStar pada pagi Selasa. Berkongsi lanjut, Akberdin berkata permohonan tersebut akan difailkan selewat-lewatnya pada Isnin depan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor. "Saya sedang persiapkan secepat mungkin dokumen-dokumen diperlukan jadi kemungkinan hari Jumaat atau Isnin depan pihak kami akan failkan," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Selepas setahun rujuk, Diana Danielle mahu failkan cerai terhadap Farid Kamil ARTIKEL BERKAITAN: Tak jemu doa kembali disatukan, Farid dan Diana rujuk selepas sebulan cerai Sementara itu, Akberdin menjelaskan sebelum kes cerai difailkan, pihaknya akan menyelesaikan pengesahan rujuk dibuat pasangan tersebut pada 31 Ogos tahun lalu. Katanya perkara itu perlu dilakukan sebagai mengikut prosedur mahkamah yang sudah ditetapkan. "Sebelum itu kami kena selesaikan isu kes rujuk dapatkan pengesahan mahkamah dahulu. "Sebab mereka cerai, kemudian rujuk Kembali, jadi kena ikut prosedur. Selesaikan rujuk kemudian baru boleh cerai buat kali kedua," jelasnya. Akberdin mengesahkan Diana nekad mahu bercerai kali kedua. Usaha mStar untuk mendapatkan maklum balas daripada Farid tidak berhasil selepas panggilan dibuat tidak dijawab aktor tersebut. Pada Isnin, Diana memuat naik kenyataan dia sudah tidak mahu hidup bersama Farid dan akan memfailkan penceraian dalam masa terdekat. Untuk rekod, pada 10 Ogos tahun lalu, Farid dan Diana bercerai talak satu namun mereka memilih untuk kembali rujuk selepas 21 hari berpisah. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia 9 tahun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!