MAHKAMAH Wilayah Narathiwat menolak permohonan ikat jamin penyanyi popular dialek Kelantan bersama suami dan empat lagi rakan mereka yang ditahan reman sejak Isnin kerana disyaki memiliki dadah. Perkara itu disahkan Ketua Polis Bahagian Siasatan Balai Polis Sungai Golok, Mej. Pol. Hafit Mad-asin pada Selasa. Jelas Hafit, pihak mahkamah menetapkan perkara itu kerana bimbang kesemua enam suspek berpotensi melarikan diri sekiranya dibenarkan ikat jamin. Enam suspek warga Malaysia masih ditahan reman. "Bagi siasatan melibatkan warga asing yang melibatkan jumlah dadah yang besar, mahkamah tidak akan membenarkan suspek-suspek diikat jamin kerana dikhuatiri mereka akan melarikan diri," katanya. Kesemua dadah yang ditemukan di bilik hotel sudah dihantar ke makmal Pusat Forensik di Yala bagi melakukan ujian DNA untuk mengenal pasti jenis dadah serta pemiliknya. Perkara itu dilakukan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk menentukan tarikh pendakwaan di mahkamah kelak. ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi dialek Kelantan bersama suami dan empat rakan berdepan 15 tahun penjara jika salah, direman 3 bulan ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi wanita Kelantan positif dadah, bakal direman bersama 5 rakan bantu siasatan penemuan 6,000 pil kuda Menurut Hafit lagi, kesemua suspek akan ditahan di Penjara Narathiwat selama 84 hari atau kira-kira tiga bulan sementara menunggu tarikh pendakwaan. Pada pagi Isnin seorang penyanyi popular Kelantan bersama suami dan empat lagi rakan mereka dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand bagi mendapatkan perintah reman. Sebelum ini media melaporkan seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan antara enam individu yang ditahan oleh pihak polis Thailand. Mahkamah tolak permohonan ikat jamin enam suspek. Mereka ditahan bersama 6,000 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat pada pagi 1 November. Kesemua suspek melibatkan tiga lelaki dan tiga wanita berusia 25 hingga 32 tahun ditahan selepas mereka dikatakan selesai berhibur di sebuah pusat hiburan. Sumber berkata, ketika serbuan pada pukul 5 pagi itu mereka yang ditahan sedang berehat di dalam bilik. Selepas siasatan dijalankan, jurucakap polis memberitahu kesemua suspek didapati positif dadah dan mereka kini sedang ditahan reman di Penjara Narathiwat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!