suria

Shuib mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal bayar cukai perkhidmatan dan penalti RM1.6 juta

Shuib masih mengunci mulut terhadap segala pertuduhannya.

PELAWAK Shuib dan pengarah syarikat Bubblebee Sdn Bhd iaitu Kho Choon Guan berdepan enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta pada tahun lalu.

Shuib atau Shahmira Muhamad, 40, bersama Choon Guan, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan berasingan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan dengan jumlah keseluruhan RM1,191,153.78 dan penalti RM454,000 bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu.

shuib 33

Shuib mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terhadapnya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Cawangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor.

Pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dibaca bersama Seksyen 78 akta sama dan boleh dihukum bawah seksyen dan akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Malah di bawah seksyen 26(10) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 serta Seksyen 69(1) akta sama, mereka turut dikehendaki membayar penalti berjumlah RM453,969.42 kepada Ketua Pengarah Kastam.

ARTIKEL BERKAITAN: Akibat tak bayar caruman Perkeso, Shuib dan pengarah Bubblebee kena denda RM17,500

ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh seleweng wang syarikat, isteri dedah Shuib guna simpanan sendiri bayar gaji pekerja

Shuib dan Choon Guan selaku Orang Kena Saman (OKS) diwakili peguam, Muhammad Firdaus Shaik Alauddin manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Wan Abdul Rahim Wan Mahamood dan Nur Amalina Ahmad Nazeri.

Ketika prosiding, pendakwa mencadangkan setiap OKS diberi ikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan alasan cukai yang belum dibayar adalah tinggi berjumlah RM1.6 juta.

Namun penguam mewakili OKS berpendapat anak guamnya sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang kes itu disiasat selain tiada keadaan mendesak sehingga memerlukan mahkamah menetapkan ikat jamin.

Bagaimanapun Rasyihah membenarkan Shuib dan Choo Guan diberi ikat jamin RM4,000 bagi semua pertuduhan.

553 (2)

Shuib diberi ikat jamin RM4,000 bagi semua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 18 Disember ini.

Sebelum ini, Shuib bersama Choon Guan didenda sebanyak RM17,500 terhadap tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu.

Mereka bagaimanapun mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan Majistret Ameera Mastura.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain