suria

Semua dokumen sitaan rumah lengkap, plantif boleh dapatkan perintah pecah masuk jika Vida tak beri kerjasama

Taufik (kanan) anggap kenyataan Vida seperti mahu menutup salah sendiri.

PROSES penyitaan di kediaman usahawan sensasi Datuk Seri Vida dilakukan mengikut prosedur selepas mendapat dokumen lengkap dan kebenaran daripada pihak mahkamah.

Wakil syarikat Ah Design Communication, Mohammad Taufik Kamarul meluahkan rasa pelik apabila Vida mengeluarkan kenyataan pihaknya selaku plantif tidak mempunyai waran memasuki kediaman wanita itu di Meru Height, Ipoh pada Isnin lalu.

Malah katanya, Vida juga masih belum menghubunginya atau peguam berhubung isu tersebut sebaliknya hanya mengeluarkan kenyataan di media sosial.

taufik vida 3

Taufik mohon kerjasama Vida untuk jelaskan hutang.

"Sehingga ke hari ini (Rabu) Vida belum menghubungi peguam saya tetapi tampil dengan kenyataan di media sosial seolah-olah wujudkan 'mahkamah' dengan netizen.

"Sepatutnya dia menghubungi saya atau peguam sebagai pihak yang menuntut walaupun pihak kami membuka ruang perbincangan.

"Dakwaannya mengatakan dokumen kami tak lengkap adalah tidak benar malah saya boleh ambil tindakan lebih drastik dengan mendapatkan perintah pecah masuk daripada mahkamah jika dia tidak memberi kerjasama.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan dibuat pekerja, Vida persoal tiada waran masuk kediaman sita aset dalam rumahnya

ARTIKEL BERKAITAN: 5 jam sita di rumah Datuk Vida... Pasu bunga, TV dan sofa antara barangan bakal dilelong

“Jika itu berlaku, ia boleh merosakkan reputasi Vida,” katanya ketika dihubungi mStar pada Rabu.

Mohammad Taufik mengulas perkara itu selepas Vida mendakwa pihak plantif tidak mempunyai waran untuk memasuki kediamannya bagi melakukan proses penyitaan barangan dalam rumah itu.

Menerusi sesi siaran langsung pada malam Selasa, Vida turut mendakwa plaintif gagal menyiapkan kerja-kerja ubah suai bangunan pejabat miliknya dengan sempurna.

Bila jadi perkara sebegini pastinya dia mahu menampakkan dirinya betul sedangkan kita semua telah melalui proses mahkamah

TAUFIK KAMARUL

KONTRAKTOR

Menjawab hal berkenaan, Kamarul berkata pihak Vida tidak menyatakan sebarang aduan selepas bangunan tersebut diserahkan dan bersama dokumen defect laibility period (DLP) pada 2017.

"Dia tidak membuat sebarang aduan dan apabila DLP tamat tempoh bangunan itu diserahkan sepenuhnya.

"Berhubung dakwaan kononnya tiada lampu, hal berkaitan penyambungan tenaga elektrik tidak termasuk dalam kontrak sebab dia mahu uruskan sendiri walaupun saya sudah memberi cadangan sebelum ini.

"Bila jadi perkara sebegini pastinya dia mahu menampakkan dirinya betul sedangkan kita semua telah melalui proses mahkamah," ujarnya.

taufik vida 2

Banglo milik Vida disita pada Isnin.

Isnin lalu, beberapa aset di banglo milik Vida disita kerana gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada syarikat kontraktor pembinaan Ah Design Communication sebanyak RM 1,060,285, pada tahun 2018.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan penghakiman pada 29 Oktober tahun lalu yang memerintahkan Vida menyelesaikan hutang itu dan jika gagal berbuat demikian writ rampasan dan penjualan kemudiannya akan dikeluarkan.

Syarikat itu dikatakan telah bekerjasama dengan Vida bagi melakukan pengubahsuaian bangunan pejabat selebriti itu, Vida All Star Studio bertempat di Elite Industrial Park Seksyen 33, Shah Alam.

taufik vida 4

Proses sita rumah vida melalui prosedur yang betul.

Dalam masa sama, Mohamad Taufik juga berlapang dada apabila ada pihak yang kini menyalahkan dirinya memandangkan status Vida sebagai orang dikenali.

"Dia yang berhutang dan saya menanggungnya selama enam tahun. Sudah banyak kali saya cuba berdiplomasi. Ini sahaja cara saya ada (penyitaan).

"Jika ada yang katakan saya bersalah, saya hanya mampu tersenyum. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul," luahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain