suria

5 jam sita di rumah Datuk Vida... Pasu bunga, TV dan sofa antara barangan bakal dilelong

Vida tidak berada di rumah ketika proses penyitaan dijalankan. - Foto RONNIE CHIN

CUACA mendung pada pagi Isnin tidak menghalang pihak Ah Design Communication Sdn Bhd melakukan proses sitaan barangan di kediaman usahawan sensasi Datuk Seri Vida yang terletak di Meru, Perak.

Beberapa kenderaan termasuk sebuah kereta polis bersama dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh mula berada di hadapan banglo mewah itu kira-kira pukul 9 pagi.

Ia selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pihak syarikat berkenaan menyita barangan kediaman usahawan itu bagi tujuan tuntutan hutang sebanyak RM1,060,285.

Untitled design (2)

Peguam dan wakil syarikat hanya berunding di luar pagar sebelum dibenarkan masuk.

Kehadiran wartawan, pihak plaintif, peguam dan Bailif Mahkamah Tinggi Ipoh disambut baik oleh dua orang pekerja di kediaman tersebut.

Peguam dan plaintif yang diwakili Mohammad Taufik Kamarul dibenarkan memasuki kediaman selepas dua jam perbincangan bersama pekerja kerana Vida atau Hasmiza Othman,53, dikatakan tiada di banglonya ketika itu.

Proses sitaan mengambil masa selama lima jam untuk pihak berkenaan meneliti dan mengenalpasti barang yang hendak disita bagi tujuan lelongan.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Barang rumah Datuk Vida termasuk 4 kereta mewah bakal dilelong, tak bayar hutang lebih RM1 juta

ARTIKEL BERKAITAN: Cik B puji Vida ibu hebat, usaha penuhi permintaan anak-anak

Mereka dilihat keluar daripada banglo mewah itu kira-kira pukul 2 petang.

Pihak media bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki kediaman untuk melihat proses sitaan yang dijalankan.

Menurut peguam mewakili plaintif iaitu Samir Zainal, pihaknya menyita empat buah kereta mewah iaitu dua buah Toyota Vellfire, Toyota Grand Hiace dan BMW X7.

Untitled design (5)

Pekerja bertindak sebagai wakil kepada usahawan sensasi itu ketika proses penyitaan.

Selain itu, televisyen jenama Samsung bersaiz 100 inci, televisyen Samsung 85 inci, permainan konsol, set alat muzik, sofa sebanyak 10 unit dan piano berjenama Kawai

Bukan itu sahaja, mereka juga menyita almari sebanyak lapan unit, pasu bunga sebanyak 30 unit, penghawa dingin 15 unit, lukisan eksklusif sebanyak enam unit dan lampu hiasan chandelier.

Kesemua barangan itu tidak dibenarkan dibawa keluar dan jika hutang tersebut tidak dijelaskan, satu acara lelongan akan diadakan iaitu pada 9 Disember depan.

Untitled design (3)

Proses penyitaan berlangsung selama lima jam di kediaman Vida di Meru, Ipoh.

Vida bagaimanapun dilaporkan tiada di banglo itu kerana berada di China.

Sebelum itu, Vida dilaporkan gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada sebuah syarikat kontraktor pembinaan Ah Design Communication sebanyak RM 1,060,285, pada tahun 2018.

Syarikat itu dikatakan telah bekerjasama dengan Vida bagi melakukan pengubahsuaian bangunan pejabat selebriti itu, Vida All Star Studio bertempat di Elite Industrial Park Seksyen 33, Shah Alam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan