SELEPAS kecoh barangan di kediamannya disita pada Isnin, akhirnya usahawan sensasi Datuk Seri Vida membuka mulut menjawab mengenai kontroversi itu. Menurut Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 53, dia akan memberikan kerjasama penuh terhadap isu yang sedang hangat diperkatakan ini. Kata Vida, dia juga sudah melantik peguam bagi membantu menguruskan perkara tersebut mengikut undang-undang. Vida beri kenyataan berhubung barang milikny disita di Instagram miliknya. "Saya ingin memaklumkan bahawa saya mengambil perkara ini dengan serius dan akan memberikan sepenuh perhatian terhadap isu yang dibangkitkan. "Saya telah melantik peguam untuk menasihati dan membantu saya dalam menyelesaikan perkara ini dengan cara yang terbaik dan mengikut lunas undang-undang," katanya. Vida berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran di Instagram pada malam Selasa. Dalam hantaran tersebut, Vida turut memuat naik video yang memaparkan dia bersama anaknya Cik B atau Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 19, ketika berada di luar negara. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Barang rumah Datuk Vida termasuk 4 kereta mewah bakal dilelong, tak bayar hutang lebih RM1 juta ARTIKEL BERKAITAN: 5 jam sita di rumah Datuk Vida... Pasu bunga, TV dan sofa antara barangan bakal dilelong Dia yang kini berada di China bagaimanapun berterima kasih terhadap keprihatinan orang ramai berhubung isu viral berkenaan. Dalam masa sama, dia berharap orang ramai berhenti mengkritik sebaliknya memberi ruang untuk dia menyelesaikan masalah tersebut. "Saya amat menghargai sokongan semua pihak dan berharap agar diberi ruang untuk menangani perkara ini dengan tenang dan profesional," ujarnya. Selain peguam, pihak berkuasa juga hadir ke kawasan banglo mewah Vida. Sebelum ini, mStar melaporkan beberapa aset di banglo milik Vida di Meru Ipoh, Perak terpaksa disita. Ia ekoran Vida gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada sebuah syarikat kontraktor pembinaan Ah Design Communication sebanyak RM 1,060,285, pada tahun 2018. Syarikat itu dikatakan telah bekerjasama dengan Vida bagi melakukan pengubahsuaian bangunan pejabat selebriti itu, Vida All Star Studio bertempat di Elite Industrial Park Seksyen 33, Shah Alam. Semasa proses sitaan, peguam mewakili plaintif iaitu Samir Zainal memaklumkan pihaknya menyita empat buah kereta mewah iaitu dua buah Toyota Vellfire, Toyota Grand Hiace dan BMW X7. Peguam hanya berunding dari luar pagar dengan pekerja Vida sebelum dibenarkan masuk. Selain itu, televisyen jenama Samsung bersaiz 100 inci, televisyen Samsung 85 inci, permainan konsol, set alat muzik, sofa sebanyak 10 unit dan piano berjenama Kawai. Bukan itu sahaja, mereka juga menyita almari sebanyak lapan unit, pasu bunga sebanyak 30 unit, penghawa dingin 15 unit, lukisan eksklusif sebanyak enam unit dan lampu hiasan chandelier. Kesemua barangan itu tidak dibenarkan dibawa keluar dan jika hutang tersebut tidak dijelaskan, satu acara lelongan akan diadakan iaitu pada 9 Disember depan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!