suria

‘SeeFood’, Animasi Tempatan Yang Membanggakan

SeeFood adalah filem animasi tempatan pertama berbahasa Inggeris dan menggunakan format 3D.
SeeFood adalah filem animasi tempatan pertama berbahasa Inggeris dan menggunakan format 3D.
SeeFood adalah filem animasi tempatan pertama berbahasa Inggeris dan menggunakan format 3D.

SEEFOOD selayaknya diangkat tinggi bukan hanya kerana pencapaiannya menembusi lebih 90 negara di benua Amerika Utara, Eropah, Amerika Latin dan Asia, tetapi kerana ia adalah animasi buatan tempatan pertama dalam bahasa Inggeris.

Kalau sudah terbukti penerimaannya di luar, maka soal kualiti filem animasi arahan Goh Aun Hoe bukan lagi pertikaian.

Bagi sebuah naskhah kelahiran tanah air, SeeFood boleh dilihat sebagai hero baru dalam senario animasi kita selepas cetusan fenomena Upin & Ipin menerusi Geng: Pengembaraan Bermula (2009).

Kita menyedari kekangan dan batasan yang dihadapi penggiat tempatan, di mana pembikinan sebuah filem animasi bukannya berjumlah RM2 atau RM3 juta tetapi lebih daripada itu.

Namun kekurangan itu bijak dipergunakan oleh Goh dalam mempersembahkan animasi yang boleh meyakinkan.

Saya melihat pemilihan tema alam sekitar menerusi penceritaan oleh karakter haiwan adalah tindakan cerdik yang efektif.

Kita sememangnya sedar sasaran utama penghasilan sesebuah animasi atau kartun di atas bumi ini adalah untuk memikat si kelompok cilik iaitu kanak-kanak.

Maka, pembinaan karakter yang comel dan menawan adalah nadi keberkesanan sesebuah animasi itu, dan menerusi Seefood, perihal itu tampak berhasil.

Justeru, secara tidak langsung, mesej tentang kepentingan untuk memelihara alam sekitar dan lautan dapat disalurkan dengan persembahan visual yang mengasyikkan dan santai.

Sedar atau tidak, saya mengakui tema dan penceritaan SeeFood itu jika tidak kena pada cara penyampaiannya, akan menjadi seperti sebuah pesanan khidmat masyarakat (PSA) yang membosankan, sekaligus menjadi tabu yang pasti dijauhi kanak-kanak.

Seiring dengan visi untuk menerapkan pendidikan pada minda kanak-kanak atau kepada sesiapa saja, pelayaran filem ini berjaya mengikat tumpuan namun sarat dengan mesej.

Secara peribadi, saya cukup tertarik dengan penghasilan karakter jerung dan dunia bawah laut serta flora fauna yang berwarna-warni itu.

Bahkan, aplikasi format 3 Dimensi (3D) yang menjadikan filem ini sebagai animasi pertama Malaysia menggunakan format itu menunjukkan industri animasi kita mampu mengikut perkembangan semasa.

Pun begitu, SeeFood yang berlatarkan watak-watak haiwan sebagai pencerita tidak mungkin dapat lari daripada menjadi perbandingan dengan filem animasi luar yang terlebih dahulu menjajahi minda kita dengan pendekatan sedemikian.

Konsep itu mungkin bukan sesuatu yang segar tetapi ia juga adalah idea yang berulang-kali diketengahkan dalam mana-mana animasi pun.

Beri peluang kepada SeeFood dan anda pasti tersenyum seusai tontonan filem ini.

Ia mungkin belum mencapai skala mega tetapi filem ini menjanjikan potensi kepada perkembangan animasi kita untuk lebih meyakinkan penonton di peringkat global, sebagaimana kita tertawan dengan Finding Nemo, Ice Age atau Madagascar sebelum ini.

Filem terbitan Silver Ant Sdn Bhd ini berlatar belakangkan eko-sistem sekitar kita di mana karakter utamanya, Pup suara oleh Gavin Yap dan Julius (Diong Chae Lia) akan membawa penonton menyertai mereka ke alam pengembaraan yang penuh misteri dan tidak berpenghujung.

Apabila berdozen telur dari terumbu Pup dicuri oleh pemburu haram, Pup nekad untuk menyelamatkan abang-abang dan kakak-kakaknya, tanpa mengambil bahaya dan risiko misi tersebut.

Tekadnya untuk membetulkan keadaan membawa Pup ke dunia daratan, atau dunia Man, dengan kawasan yang indah tetapi penuh dengan mara bahaya.

Khuatir akan keselamatan Pup, Julius, seekor jerung berinsang putih muncul dengan misi yang tersendiri untuk menyelamatkan kawan karibnya.

Dengan sut istimewa mereka, keupayaan jerung untuk mengembara di daratan dalam animasi aksi penuh ketawa ini pasti akan mempesonakan anda.

SeeFood kini ditayangkan di pawagam bermula 8 Mac lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain