Barisan pelumba negara menjalani latihan di Melbourne, Australia.MELBOURNE: Pelumba lebuh raya negara, Anuar Manan masih belum memutuskan mengenai masa depannya selepas menerima tawaran serentak daripada dua pasukan berstatus benua, Kelly Benefit dari Amerika Syarikat dan Terengganu Cycling Team (TCT) ketika bahang Sukan Komanwel semakin hampir.Begitupun, Anuar mengakui dua tawaran berharga itu tidak menjejaskan persiapannya menjelang temasya Sukan Komanwel di New Delhi, India yang akan membuka tirainya 3 Oktober ini. Beliau menganggap khabar gembira itu sebagai pembakar semangat untuk melakar kejayaan besar dalam kariernya selepas dinobatkan selaku pelumba pertama negara bergelar raja pecut di Le Tour de Langkawi (LtDl) tahun ini."Meskipun baru saja berpeluang berlatih bersama sebagai satu pasukan buat kali pertama, ia tidak menjadi masalah kerana kami sudah mengenali satu sama lain."Peluang untuk mendapat pingat adalah cerah jika semua rancangan berjalan lancar dengan bantuan percaturan rakan sepasukan," kata Anuar yang menjalani latihan bersama lima lagi rakan sepasukan di sini selepas pulang dari Perancis.Untuk mendapatkan keserasian dan memantapkan lagi teknik kayuhan, Anuar dan lima lagi pelumba lebuh raya negara giat menjalani latihan fasa akhir selama empat jam bermula dari Ivanhoe dan berakhir di Frankston di sini pada Rabu.Selain Anuar, acara lebuh raya turut diperkuat Mohd Harrif Salleh, Adiq Husainie Othman, Yusrizal Usof, Shahrul Mat Amin dan Amir Mustafa Rusli yang bertindak sebagai kapten pasukan.Sementara itu, mengulas mengenai dua tawaran yang diterimanya, Anuar meletakkan keputusan di tangan pengurus pasukannya, Guemsang Ginseng, Danny Feng tetapi menganggap peluang menyertai Kelly Benefit dapat membantu melebarkan sayapnya lebih jauh.