suria

Azlan Tumpang Gembira Dengan Pemilihan Zamri

Azlan (kanan) tetap gembira setelah Zamri (kiri) terpilih selaku pelumba wildcard Moto2 bulan depan.
Azlan (kanan) tetap gembira setelah Zamri (kiri) terpilih selaku pelumba wildcard Moto2 bulan depan.
Azlan (kanan) tetap gembira setelah Zamri (kiri) terpilih selaku pelumba wildcard Moto2 bulan depan.

BIARPUN kecewa namanya tidak terpilih bagi penyertaan tiket wildcard Moto2, namun Azlan Shah Kamaruzaman tetap gembira dengan rakan baiknya, Mohd Zamri Baba yang terpilih selaku pelumba wildcard Moto2 yang akan bersaing dalam Grand Prix Motosikal Malaysia pada 8 hingga 10 Oktober ini. Azlan yang agak kecewa selepas pengumuman itu ternyata kini mula menerima hakikat turut memberi sokongan kepada Zamri.

“Saya akui ketika menerima pengumuman bahawa nama Zamri diumumkan selaku pelumba Moto2, hati saya remuk dan semangat saya cukup lemah. Mana-mana pelumba pasti terkilan dan sedih apabila nama mereka tidak tersenarai sekali gus harapan untuk beraksi dipentas dunia berkecai.

“Peluang sebegini bukan datang setiap hari dan saya memang cukup terkilan apabila gagal terpilih.

“Bagaimanapun, saya telah menerima kenyataan ini dan perasaan kecewa tidak lagi mengganggu saya. Saya percaya, hanya pelumba yang terbaik layak memperolehi tiket wildcard dan ia menjadi milik Zamri. Mungkin itu rezeki Zamri. Walau apapun, saya berasa gembira untuknya dan akan memberi sokongan terhadap Zamri.

“Saya yakin seluruh komuniti Cub Prix akan hadir ke Sepang untuk menaikkan semangat Zamri dan juga Mohd Zulfami Khairuddin yang bersaingan dalam kategori 125cc,” katanya. Azlan yang turut beraksi dalam saingan SuperSports 600cc pada siri Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS, bagaimanapun tetap bersyukur kerana diberi peluang bagi menyertai sesi ujian Moto2 yang telah berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada awal September lepas.

”Hanya saya dan Zamri dipanggil untuk menguji jentera Moto2 dan peluang tersebut merupakan saguhati bagi saya. Ini kerana bukan semua pelumba dapat mencuba jentera Moto2.

“Saya melakukan 28 pusingan dan ia merupakan satu pengalaman yang berharga buat saya. Saya benar-benar menghargai peluang tersebut,” kata pelumba berusia 26 tahun yang kini berkongsi kedudukan bersama Zamri di tempat ketiga kategori SuperSports 600cc dengan 87 mata.

Azlan berharap peluang buat dirinya tidak sekadar terhenti di sini sahaja.

“Saya berharap pada musim depan, slot wildcard Moto2 bakal diadakan sekali lagi. Walaupun, segala-gala rancangan untuk musim depan belum dikenalpasti lagi tetapi sebagai pelumba, saya akan memperbaiki kelemahan-kelemahan dan berusaha untuk meningkatkan prestasi saya.

“Memang impian saya adalah untuk beraksi di pentas dunia dan bersaingan dengan pelumba-pelumba handalan,” katanya.

Artikel Sebelum

Zulfahmi Mahu Pungut Mata Di Jepun

Artikel Berikut

Artikel Lain