suria

Rush Yakin Liverpool Akan Kalahkan United

DUTA Kelab Bola Sepak Liverpool, Ian Rush yakin The Reds mampu menewaskan Manchester United pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) Ahad ini.

Rush menyasarkan Liverpool akan menang ke atas United berdasarkan prestasi semasa skuad kendalian Kenny Dalgish itu, lebih-lebih lagi selepas melihat United ditundukkan Chelsea Rabu lalu.

“Saya pasti perlawanan Liverpool dan United Ahad ini adalah aksi dramatik antara kedua pasukan. Ia bakal menjadi perlawanan hebat.

"Namun saya yakin Liverpool akan mengalahkan United dengan jaringan 2-0,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kerjasama antara biskut Tiger dan Kelab Bola Sepak Liverpool, Khamis lalu.

Rush juga berkata, secara keseluruhan pula, dia menjangkakan United akan muncul sebagai juara liga tahun ini sekali gus mengetepikan Chelsea selaku juara musim lalu.

“Persaingan makin sengit, namun saya yakin United akan muncul juara liga musim ini dan mungkin akan mendapat saingan sengit daripada Arsenal yang kini mengekori rapat pendahulu liga itu. Walaupun United musuh tradisi kami, namun secara realistik saya percaya mereka menjadi pilihan untuk muncul juara,” katanya.

Sementara itu, Rush yang turut merasmikan program pencarian bakat muda ini berkata, program bersama biskut Tiger adalah satu jalan yang terbaik bagi mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan bola sepak.

“Saya yakin di Malaysia ramai pemain-pemain muda yang berkebolehan dan mempunyai bakat tersendiri. Program ini adalah jalan terbaik untuk mereka pergi lebih jauh dan berpeluang beraksi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Pengarah Urusan Kraft Foods Malaysia, Singapura & Brunei, Dieter Schulz berkata, sepanjang empat tahun berada di Malaysia, dia sendiri telah melihat ramai pemain muda yang mempunyai kemahiran bermain bola sepak.

“Sukan bola sepak dilihat penting di sini kerana di mana-mana sahaja kita boleh lihat golongan muda bermain bola sepak. Situasi ini lebih menyerlah selepas pasukan Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF baru-baru ini.

"Jadi dengan keadaan ini, pihak kami memberi peluang kepada semua remaja berumur 12-15 tahun untuk menyertai program yang telah bermula November tahun lalu.

“Proses pemilihan sedang dijalankan dan tiga orang peserta yang menunjukkan komitmen dan menjadi perhatian jurulatih akan dipilih menjalani latihan di Akademi Bola Sepak Liverpool,” katanya.

Antara jurulatih yang terlibat dalam program ini ialah David Ridler (jurulatih dari Akademi Liverpool), manakala dua orang jurulatih tempatan iaitu bekas pemain kebangsaan, Mohd Rusdi Mohd Suparman dan Ahmad Fairuz Yunus.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan