suria

AVB Akan Diumum Sebagai Pengurus Spurs Yang Baru

ANDRE VILLAS-BOAS (AVB) akan diumum dan disahkan sebagai pengurus Tottenham Hotspurs yang baru dalam tempoh 24 daripada sekarang, demikian lapor akhbar The Sun, UK pada Selasa.

Ini bermakna bekas pengurus Chelsea itu bersedia untuk mengorbankan £11 juta dalam bentuk gaji mingguan yang masih diterimanya daripada Chelsea.

Di bawah perjanjian penamatan kontraknya bersama Chelsea, AVB, 34, akan terus dibayar gaji mingguan (keseluruhannya berjumlah £11 juta untuk selama tiga tahun) sehinggalah dia menandatangani kontrak untuk mengurus sebuah kelab lain.

Jika dia bersetuju untuk mengurus kelab lain, pembayaran gajinya oleh Chelsea akan terbatal dengan sendirinya.

Spurs dikatakan bersedia untuk menawarkan kontrak empat tahun kepada AVB berjumlah £16 juta untuk menyertai White Hart Lane.

Karier AVB bersama Chelsea hanya bertahan selama lapan bulan sahaja apabila regim latihan dan hubungannya dengan pemain-pemain kanan menjadi tegang dan bermasalah sehingga mencetuskan pemberontakan yang membawa kepada pemecatannya.

Sebaik sahaja dia dipecat dan digantikan oleh penolongnya, Roberto Di Matteo, Chelsea bukan sahaja memenangi Piala FA Inggeris malah memenangi kejuaraan paling berprestij di benua Eropah iaitu Piala Liga Juara-Juara dengan menumpaskan kelab gergasi Barcelona.

Hasil kejayaan itu, Di Matteo telah diberikan kontrak tetap untuk menguruskan Chelsea selama dua tahun lagi.

Sementara itu adalah difahamkan, sepanjang rundingannya dengan pengerusi Chelsea, Daniel Levy, AVB memberi jaminan bahawa dia tidak akan mengulangi kesilapan yang sama yang membawa kepada kejatuhannya di Chelsea.

Sementara itu, Tim Sherwood akan dilantik sebagai pengarah bolasepak Spurs yang baru sekaligus memberi kebebasan kepada AVB untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada urusan harian kelab.

Malah AVB juga khabarnya dijanjikan kantung yang besar untuk mula merekrut pemain-pemain baru ke Tottenham.

AVB menyimpan azam untuk memulihkan reputasinya di England ekoran pemecatannya sebagai pengurus Chelsea.

Sebelum ini beliau memiliki rekod sebagai pengurus muda yang paling dihormati di Eropah apabila membimbing Porto untuk menjuarai Liga Portugal dan juga menjuarai Piala Europa.

Ketika dia dilantik sebagai pengurus Chelsea dia telah digalas dengan misi untuk membina semula kelab itu dan mengantikan pemain-pemain lama serta berumur dengan pemain baru yang berpotensi dan popular.

Bagaimanapun cara dia mengendalikan penyingkiran Nicholas Anelka dan pemain Brazil Alex telah mencetuskan pemberontakan di kalangan pemain-pemain ternama yang lain dan ini membawa kepada kejatuhannya pada Mac lalu.

Pelantikan AVB dijangka akan diumumkan menerusi laman web rasmi Spurs dalam tempoh 24 jam daripada sekarang.

Dia dikatakan akan diperkenalkan secara rasmi kepada para pemain Spurs dalam sesi latihan yang pertama kelab berkenaan Isnin depan.

Jawatan pengurus di Tottenham Hotspurs menjadi kosong apabila Levy memecat Harry Redknapp bulan lalu walaupun dia telah berjaya membawa kelab tersebut menduduki tangga keempat liga.

Bagaimanapun itu tidak memadai untuk menyelamatkan kedudukan Redknapp apabila Chelsea yang berjaya menjuarai Piala Eropah menjadi kelab keempat terpilih mewakili England sekaligus mengenepikan Spurs.

Artikel Sebelum

Artikel Lain