PETALING JAYA: Gergasi badminton, China akan menjadi tuan rumah pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber untuk kali ketiga pada 2016. Bandar raya Kunshan di wilayah Suzhou dipilih mengatasi Jakarta yang turut membida hak penganjuran pusingan akhir itu. Kunshan mempunyai perancangan untuk menjadi tuah rumah dengan menyiapkan Pusat Sukan Kunshan yang mampu memuatkan lebih 5,000 penonton. Kemudahan itu memadai untuk mereka mengetepikan Jakarta yang bercadang menggunakan Istora Senayan yang popular itu sebagai gelanggang perlawanan pusingan akhir berkenaan. Ironinya, Jakarta pula mengetepikan Kunshan untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia yang dijadual dilangsungkan tahun depan. Keputusan itu dibuat tahun lalu. Walaupun memenangi Piala Thomas sembilan kali dan Piala Uber 13 kali, China hanya dipilih menjadi tuan rumah sebanyak dua kali. Temasya tahun depan adalah yang ketiga diadakan di negara itu. Sebelum ini Guangzhou dipilih sebagai tuan rumah pada 2002 dan Wuhan pada 2012. Timbalan Datuk Bandar Kunshan, Guan Fengliang berkata, bidaan kali ini adalah yang ketiga dibuat bandar itu. “Akhirnya kami menang. “Kami akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin dan menyumbang kepada langkah mempromosi sukan badminton ke seluruh dunia,” katanya. Sementara itu Kejohanan Remaja Dunia akan diadakan du Lima Peru pada 2015. Ia adalah kali pertama negara Amerika Selatan menjadi tuan rumah sejak kali terakhir pada 1992. Lima menjadi satu-satunya bandar raya membuat tawaran menjadi penganjur temasya berkenaan.