GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan beraksi tanpa penjaga gol utamanya Remezey Che Ros pada perlawanan pembukaan Liga Perdana menentang Kuantan FA pada Jumaat kerana pemain itu baru menjalani pembedahan membuang batu karang. Remezey, 33, berkata beliau menjalani pembedahan pada Selasa lepas, dan mungkin tidak dapat menyertai dua atau tiga perlawanan sehingga kesihatannya pulih. "Sabtu ini adalah pemeriksaan susulan terakhir. Selepas itu, mungkin ambil masa seminggu atau lebih untuk menjalani latihan ringan. "Walau siapa pun yang bermain, saya berharap mereka dapat buat yang terbaik dan konsisten pungut mata demi kejayaan pasukan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini. Sebelum memilih haluan ke Pulau Pinang pada musim ini, Remezey menyarung jersi PKNS FC selama tiga tahun sehingga 2014 selain pernah beraksi untuk pasukan PDRM, Pahang dan Kuala Lumpur. Sementara itu, ketua jurulatih Jacksen F. Tiago berkata walaupun terpaksa merombak sedikit barisan pemain pada saat-saat akhir, ia tidak menggoyahkan persediaan rapi anak buahnya. Beliau berkata Sani Anuar Kamsani dan Khairul Amri Salehuddin sedang dipertimbang bagi mengisi kekosongan slot penjaga gawang utama dalam perlawanan pertama menentang Kuantan FA di Stadium Bandaraya itu. "Daripada apa yang ditampilkan semasa tempoh percubaan dan latihan kedua-duanya bagus. Kesemua 24 pemain yang tinggal telah diuji sepenuhnya...siap tampil tiada keraguan lagi," katanya. Mengulas mengenai kekalahan menentang Felda United 0-1 dan Selangor 1-3 pada 26 Jan dan 29 Jan lepas, Tiago melihat ia sebagai pengajaran kepada pemain untuk tidak terlalu yakin dan lebih berhati-hati pada masa depan. Skuad Harimau Kumbang mencatat rekod lima kali menang, tiga seri dan dua kalah dalam 10 siri perlawanan pramusim 2015 dengan 16 jaringan gol.