KUALA LUMPUR: Pelumba sensasi negara, Muizzuddin Musyaffa gagal mara ke perlumbaan akhir Kejohanan Siri Masters Karting SiriDunia (WSK) apabila menduduki tempat ke-24 pada perlumbaan praakhir di Litar Perlumbaan Adria, Itali pada Ahad. Ini kali pertama Muizzuddin, 13, tidak layak untuk beraksi pada perlumbaan akhir WSK sejak melangkah ke kategori KF Junior bagi pelumba berusia antara 13 dan 15 tahun pada musim ini. "Sungguh malang. Kami mencatat keputusan baik pada sesi sebelumnya. Bagaimanapun, Muizz mengaku dia melakukan kesilapan besar. Sepatutnya, dia tidak teragak-agak, tetapi terus memotong. Atau, dia boleh tunggu dulu seketika. "Perlumbaan ini mengandungi 16 pusingan dan dia mungkin ada peluang padalain kali. Tidak mengapa, ini semua adalah pengalaman dan ternyata, Muizz masih belajar. Kami anggap ini sebagai satu lagi pengalaman pembelajaran yang mahal harganya dan akan terus berusaha. Kini, kami akan beri fokus pada Pusingan 2 di Castelletto dua minggu lagi," kata pengurus pasukan Gamoto Racing, Silvatore Gotto dalam kenyataannya. Kejohanan ini mengandungi empat pusingan, dengan Pusingan 2 akan diadakan pada 22 Mac di Castelletto, Itali. Pusingan 3 akan berlangsung di La Conca pada 12 April, manakala pusingan akhir di Sarno pada 26 April. - Bermula di petak kesembilan dalam kejohanan KF Junior, pemandu Gamoto Racingini mempamerkan prestasi cemerlang pada peringkat awal dengan memecut ke tempat kedua dan terus memandu dengan penuh keyakinan apabila memasuki pusingan kedua. Bagaimanapun, akibat teragak-agak ketika hendak memotong pelumba dihadapannya, jentera CRG Muizz dirempuh pemandu China Ye Ye Fei hingga berpusing dan akhirnya menduduki tempat terakhir daripada 30 pelumba. Untuk rekod, Muizz menduduki tempat ke-15 keseluruhan dalam kalangan 61 pelumba dari seluruh dunia, termasuk Amerika dan Eropah, pada perlumbaan Pusingan 1 Siri Masters WSK. Pelumba berbakat besar ini menduduki tempat kelima pada Saringan 1, keempat pada Saringan 2, ketiga pada Saringan 3 dan ke-12 pada Saringan 4.