KUALA LUMPUR: Pasangan terjun wanita negara, Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong berjaya meraih pingat gangsa pada siri akhir Kejohanan Terjun Dunia Fina 2015 di Merida, Mexico pada Jumaat. Pertandingan ini merupakan pusingan keenam dan peringkat akhir dalam siri kejohanan dunia ini. Laman web rasmi www.fina.org berkata pasangan penerjun Malaysia itu memenangi pingat selepas mengumpul 312,90 mata dalam acara 10m platform seirama wanita pada hari pertama kejohanan. Pasangan China Si Yajie-Lian Jie merangkul pingat emas dengan 333.72 mata manakala pasangan Kanada, Meaghan Benfeito-Roseline Filion meraih perak dengan 328,41 mata. Pada siri awal tahun ini, pasangan Malaysia itu meraih dua pingat perak di Beijing, China (13-15 Mac) dan London, England (1-3 Mei) dan gangsa di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (19-21 Mac). Mereka tidak memenangi sebarang pingat di Kazan, Rusia (24-26 April) dan Windsor, Kanada (22-24 Mei). Setelah bersaing dalam enam siri, Malaysia berada pada kedudukan ketiga dalam acara 10m platform seirama wanita selepas mengumpul 120 mata manakala China dan Kanada masing-masing mengumpul l62 dan 132 mata.-- Bernama