KELAB ternama Liga Perdana Inggeris, Manchester United yang meletakkan harapan tinggi untuk mendapatkan pemain utama Tottenham Hotspur, Harry Kane dilihat semakin kabur. Pengerusi Tottenham Hotspur, Daniel Levy serta jurulatihnya, Mauricio Pochettino dikatakan telah berjanji kepada penyokong kelab tersebut untuk tidak melepaskan bintang Spurs itu. Bagaimanapun, jurulatih United, Louis Van Gaal sedang giat mencari penyerang baharu dan Kane adalah salah seorang pemain yang tersenarai sebagai pilihannya. Van Gaal menawarkan sejumlah £45 juta (RM251 juta) kepada Kane untuk pemindahan pemain pada musim panas nanti. Pemain berusia 21 tahun itu bermain dengan prestasi cemerlang di White Hart Lane, dengan 32 jaringan untuk kelab dan juga negara sepanjang musim ini. Sementara itu, Levy dan Pochettino menjawab "Ya" apabila penyokong Spurs bertanya melalui laman sosial Facebook sama ada Kane akan kekal di dalam kelab tersebut atau tidak. Selain itu, pengerusi Spurs itu juga mengesahkan Pochettino akan memberi kata muktamad mengenai perpindahan pemain musim ini dan meletakkan harapan untuk pasukan itu menjadi salah satu kelab terbaik di Eropah. "Stadium baharu ini akan membawa perubahan kepada corak permainan, selain pendapatan kelab termasuk pelaburan yang akan menjadi keutamaan pasukan," kata Levy.